ARAU: Lebih 70 peratus daripada 3,568 graduan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) yang akan diraikan pada Istiadat Konvokesyen Ke-20 bermula 22 sehingga 25 November ini, sudah mendapat kerja atau sebilangan mereka melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.
Ia sekali gus membuktikan graduan Unimap terus ‘laris’ dalam pasaran kerja dan sentiasa menjadi perhatian para pemain industri di negara ini.
Naib Canselor Unimap, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, jumlah lebih 70 peratus graduan yang sudah mendapat pekerjaan sebelum konvokesyen terus meningkat saban tahun.
Katanya, perkembangan itu menunjukkan pelajar Unimap sentiasa relevan dengan keperluan industri semasa.
Ujar beliau, Unimap sentiasa mempunyai kerjasama rapat dengan pihak industri dan sentiasa mengemas kini silibus atau program yang mengikut keperluan industri.
“Kebiasaan, sebelum majlis konvokesyen, pelajar-pelajar ini akan mendapat tawaran pekerjaan dari industri malah ada di antara mereka turut memperoleh gaji premium.
“Selain itu, silibus atau program ditawarkan sentiasa relevan dengan industri semasa dan graduan kita tersedia untuk industri. Graduan Unimap cepat menerima tawaran pihak industri sebaik sahaja tamat belajar.
“Kita juga sentiasa melihat keperluan menambah program atau silibus baharu yang relevan dengan kehendak semasa industri,” katanya dalam sidang akhbar bersempena Istiadat Konvokesyen Unimap Ke-20 di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin Kampus Alam Unimap, Pauh Putra di sini semalam.
Istiadat konvokesyen tersebut melibatkan lapan sidang dengan Raja Muda Perlis merangkap Canselor Unimap, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail akan berangkat menyempurnakan sidang pertama, ketiga dan kelima.
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro-Canselor Unimap pula akan menyempurnakan istiadat konvokesyen bagi sidang dua, empat dan enam.
Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail yang dilantik sebagai Pro-Canselor Unimap akan menyempurnakan sidang ketujuh dan lapan.
Zaliman berkata, pada istiadat kali ini, Unimap akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mustapa Mohamed atas sumbangan besar beliau khususnya terhadap hala tuju institusi seperti Unimap. – UTUSAN










