Kurang penumpang punca ETS tidak berhenti di Kodiang

Kurang penumpang punca ETS tidak berhenti di Kodiang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Perkhidmatan tren elektrik (ETS) tidak berhenti di Stesen Kodiang di Kubang Pasu disebabkan jumlah penumpang yang rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Kedah, Dzowahir Ab. Ghani berkata, penumpang dari kawasan Kodiang yang ingin menggunakan perkhidmatan ETS boleh menaiki tren di Stesen Anak Bukit atau Stesen Arau, Perlis.

“Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kini menyediakan 10 perkhidmatan ETS naik dan turun di Stesen Arau dan dua perkhidmatan sama di Stesen Anak Bukit. 

“Selain itu, sebanyak 36 perkhidmatan KTM Komuter turut berhenti di Stesen Kodiang setiap hari, dengan purata 615 penumpang naik dan turun di stesen itu setiap hari,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Dzowahir (Bersatu-Suka Menanti) menjawab pertanyaan Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir (Bersatu-Kota Siputeh) berhubung keadaan Stesen Keretapi Kodiang, khususnya akses orang kurang upaya (OKU) dan warga emas, serta cadangan menjadikannya sebagai stesen hentian akhir ETS di Kedah.

Menurut Dzowahir, namun KTMB akan terus menilai jumlah permintaan penumpang dari masa ke semasa dan tidak menolak kemungkinan untuk menjadikan Stesen Kodiang sebagai stesen hentian ETS bagi negeri ini sekiranya terdapat peningkatan yang signifikan dari segi jumlah pengguna.

“Kerajaan negeri melalui kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan pihak KTMB akan terus memantau keperluan ini agar kemudahan pengangkutan awam di Kedah dapat dinikmati secara inklusif oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Tambahnya, Stesen Kodiang kini dilengkapi beberapa kemudahan mesra OKU, antaranya parkir khas berhampiran pintu masuk utama, pintu masuk automatik (ACG) yang lebih luas serta pintu get manual bagi memudahkan pergerakan pengguna berkerusi roda.

 “Laluan berpandu (tactile paving) di platform bagi membantu OKU penglihatan bergerak dengan lebih selamat dan tandas mesra OKU yang lengkap dengan kemudahan asas di dalam kawasan stesen juga tersedia buat masa ini.

“Selain itu, projek pembinaan lif di Stesen Kodiang telah pun dimulakan pada April lalu, dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2026,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN