KUALA KANGSAR: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar hari ini mengetuai senarai 30 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Shamsul Azri, 56, dikurniakan Darjah Dato’ Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Dato’ Seri sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Nazrin yang disambut Jumaat lalu.
Pada istiadat pengurniaan sama, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dikurniakan Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Dato’ Seri bersama Orang Kaya Besar Maharaja Diraja, Datuk Dr Syed Jaafar Syed Aznan dan Peguam Cara Negara II, Datuk Umar Saifuddin Jaafar.
Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Dato’ Seri Pahlawan kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Bagi Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Dato’, baginda mengurniakan kepada Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Ir Roslan Ismail.
Pada istiadat sama, baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Dato’ kepada 17 tokoh termasuk Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; Pengarah Kesihatan Perak, Dr. Feisul Idzwan Mustapha dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon.
Sultan Nazrin juga berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Dato’ Pahlawan kepada enam penerima.
Mereka ialah Laksamana Madya Mohamad Azuwan Harun; Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara Pangkalan Udara Subang, Mejar Jeneral Ramli Mohd. Abd. Jabar dan Ketua Penolong Pengarah E4 Cawangan Khas Bukit Aman, Deputi Komisioner Hishammudin Mohd. Amin.
Turut menerima DPTS, Ketua Pengarah Markas ATM, Bahagian Perkhidmatan Keruteraan Pertahanan, Brigedier Jeneral Fazillah Ibrahim; Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Brigedier Jeneral Dr. Sharifah Azlin Juliana Syed Zainal dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Paduka Seri Sultan Perak, Brigedier Jeneral Norzahari Efandy Zakaria.
Berangkat sama pada istiadat itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Aezer Zubir.
Bersempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin kali ini, seramai 238 penerima telah mendapat perkenan baginda untuk dikurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak termasuk satu penerima secara anumerta. – UTUSAN










