KOTA BHARU: Kelantan Red Warrior (KRW) meneruskan rentak kemenangan apabila membelasah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 6-0 pada aksi Liga A1 Semi Pro di Stadium Sultan Muhammad IV di sini sebentar tadi.
Kenduri gol KRW FC bermula seawal minit kelima menerusi tandukan deras Muhammad Syafiq Izzudin selepas menerima hantaran Mohd. Faiz Nasir.
Lima minit berselang, penyokong tuan rumah terus bersorak gembira apabila penggempur berbisa Emmanual Mbraga menjaringkan gol kedua selepas tenang menyudahkan hantaran Mohd. Faiz.
KRW FC terus menambah derita pelawat apabila Fazli Ghazali meledakan jaringan ketiga tuan rumah pada minit ke-36 selepas bijak menyudahkan bola tandukan kebelakang oleh Zulasyraf Zukiefli.

Minit ke-41, Mbraga terus memperagakan ketajaman penyudah apabila meledakan jaringan keempat KRW selepas bijak memperdayakan tiga pemain KDA FC dan keputusan itu kekal hingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, Stadium Sultan Muhammad IV terus berpesta apabila Zulasyraf meledakan jaringan kelima KRW FC pada minit ke-48.
Muhammad Syafiq melengkapkan malam gemilang KRW FC apabila meledakan jaringan keenam pasukannya pada minit ke-77 dan keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan.
Kemenangan besar itu menyaksikan KRW FC menduduki tangga keena dalam carta liga dengan mengumpul 19 mata selepas mengharungi 12 perlawanan.-UTUSAN









