KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail mengingatkan semua barisan kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya peka terhadap perubahan tingkah laku, tekanan emosi dan kemurungan membabitkan warga kerja pasukan.
Beliau berkata, kesihatan mental dan fizikal mampu mempengaruhi prestasi, disiplin, dan kesejahteraan anggota serta organisasi secara keseluruhannya.
Katanya, tekanan mental selalunya berpunca daripada bebanan kehidupan dan tekanan yang melampau.
“Adalah diharapkan agar semua barisan kepimpinan dan penyelia untuk peka terhadap perubahan tingkah laku, tekanan emosi atau tanda-tanda kemurungan dalam kalangan warga kerja.
“Tindakan intervensi awal perlu diambil melalui pendekatan empati, program kaunseling serta bimbingan bagi memastikan individu yang memerlukan sokongan dan perhatian mendapat sokongan sewajarnya,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara anjuran JIPS di Bukit Aman, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Khalid berkata, seramai 20 orang menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Negara terdiri daripada pegawai kanan polis, pegawai rendah polis dan pegawai awam yang mempamerkan mutu perkhidmatan cemerlang dan berkualiti.
“Saya mendoakan agar kita semua dikurniakan kudrat dan beroleh keberkatan hidup atas segala curahan jasa serta keringat, dalam menjaga keselamatan negara demi kesejahteraan masyarakat seluruhnya,” katanya.
Mohd. Khalid turut menzahirkan simpati dan mendoakan agar dua anggota trafik yang terlibat dalam insiden kemalangan ketika bertugas semasa Sidang Kemuncak ASEAN yang lalu kembali pulih sepenuhnya.
Beliau berkata, kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN adalah hasil usaha dan komitmen petugas daripada semua jabatan dan agensi termasuk PDRM khususnya Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA).
“Terima kasih juga dizahirkan kepada Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan jenteranya kerana berjaya memastikan pergerakan tetamu-tetamu kenamaan selamat dan berjalan lancar sepanjang persidangan diadakan.
“Tidak dilupakan, sekalung penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada Pengarah Cawangan Khas dan semua petugas yang bertanggungjawab ke atas kawalan keselamatan orang kenamaan,” katanya. – UTUSAN










