KLIA bocor: Kawasan terjejas berjaya dibersih, kaunter daftar masuk dibuka semula

KLIA bocor: Kawasan terjejas berjaya dibersih, kaunter daftar masuk dibuka semula

KEADAAN di KLIA Terminal 1 yang bocor akibat hujan lebat petang tadi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG- Kaunter daftar masuk K dan L di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dibuka semula kepada penumpang selepas ditutup sementara akibat kebocoran air petang tadi.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata, air melimpah di kawasan itu berjaya dibersihkan dalam tempoh sejam setengah selepas sistem kritikal di kawasan tersebut diperiksa dan disahkan selamat digunakan.

“Sepanjang insiden itu, tumpuan KLIA kekal terhadap keselamatan penumpang, pengawalan kawasan terjejas dan perlindungan sistem elektrik.

“Pasukan lapangan terbang telah dikerahkan serta-merta untuk mengawal kawasan yang terjejas dan membantu pergerakan penumpang dengan selamat.

“Ia termasuk melaksanakan pemutusan kuasa secara berkala di kawasan yang diperlukan sebagai langkah pencegahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MAHB berkata, kerja-kerja pengawalan, pembersihan dan pemulihan turut dijalankan segera dan dipertingkatkan apabila keadaan cuaca kembali baik.

“ Pemeriksaan teknikal masih dijalankan dan beberapa fungsi sokongan terus dipantau dengan teliti,” katanya.

Terdahulu, KLIA mengalami insiden kebocoran air di Terminal 1 pada pukul 4.14 petang hari ini selepas berlakunya hujan lebat luar biasa di kawasan tersebut.

Kejadian itu turut bertepatan dengan Amaran Aerodrom dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bagi ribut petir kuat sehingga 6 petang tadi.

Susulan itu, MAHB berkata, penilaian teknikal sedang dijalankan bagi menentukan punca utama kebocoran termasuk faktor-faktor yang mungkin berpunca daripada cuaca ekstrem yang dialami petang ini.

“Sebarang langkah pembetulan dan pencegahan yang diperlukan akan dilaksanakan untuk meningkatkan ketahanan KLIA terhadap kejadian seumpama itu pada masa hadapan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN