KKSY diiktiraf ahli rasmi CDIO dunia oleh MIT

KKSY diiktiraf ahli rasmi CDIO dunia oleh MIT

DELEGASI Kolej Komuniti Selayang yang diketuai oleh Ahmad Rizal Omar (tiga dari kiri) ke Asian Regional Meeting: CDIO 2025 di Indonesia baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kolej Komuniti Selayang (KKSY) diiktiraf sebagai ahli rasmi CDIO Initiative yang diasaskan oleh Massachusetts Institute of Technology (MIT) sebagai pengiktirafan terhadap usaha memperkukuh kualiti pendidikan dan latihan teknikal (TVET).

CDIO ialah pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar merangkumi empat fasa iaitu Conceive (Mereka Bentuk Konsep), Design (Reka Bentuk), Implement (Pelaksanaan) dan Operate (Pengoperasian), yang menggabungkan teori, kemahiran teknikal serta kemahiran insaniah seperti komunikasi dan kepimpinan bagi melahirkan tenaga kerja berdaya saing.

Pengarahnya, Ahmad Rizal Omar berkata, keanggotaan rasmi dalam CDIO Initiative merupakan satu pengiktirafan besar terhadap usaha berterusan kolej berkenaan dalam memperkukuh mutu pendidikan TVET selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

“Pengiktirafan ini menjadi penanda aras baharu terhadap komitmen kolej dalam memperkasa kurikulum berasaskan amalan industri sebenar.

“Pendekatan CDIO akan diterapkan dalam pelbagai program utama di KKSY seperti Diploma Teknologi Seni Permainan, Sijil Rekabentuk Dalaman, Sijil Kulinari dan program-program lain bagi memastikan pelajar dilatih secara holistik dan memenuhi keperluan pasaran kerja semasa,” katanya.

Menurut Ahmad Rizal inisiatif itu juga selari dengan aspirasi Kerajaan Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan insan holistik, inovasi berterusan serta kecekapan dalam penyampaian pendidikan.

“Ia secara langsung menyokong agenda kerajaan untuk memperkukuh ekosistem TVET nasional sebagai pemacu kemahiran masa depan dan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan teknikal bertaraf dunia,” ujarnya.

Oleh itu, KKSY komited melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir secara teknikal dan kreatif, tetapi juga beretika, profesional dan mempunyai kesedaran sosial sejajar dengan nilai Malaysia Madani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN