PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kemungkinan kemasukan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam barisan Jemaah Menteri.
“Saya tiada maklumat,” katanya ringkas ketika ditanya berhubung perkara itu selepas merasmikan Simposium Kecerdasan Buatan (AI) Transformasi Keselamatan 2025,, di sini hari ini.
Menurut Saifuddin, pada awal pembentukan kerajaan pada November 2022, beliau pernah diminta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi pandangan dalam penyusunan Kabinet ketika itu.
“Tetapi sekarang, setelah tiga tahun beliau menjadi Perdana Menteri, saya fikir beliau mempunyai kedudukan terbaik untuk menyusun barisan Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau menambah, keputusan berkaitan pelantikan anggota Kabinet baharu adalah sepenuhnya di bawah kebijaksanaan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai spekulasi rombakan Kabinet yang dikatakan akan diumumkan pada awal Disember ini, beliau menegaskan, perkara itu tidak pernah dibincangkan bersama Perdana Menteri walaupun sering bertemu.
“Saya hari-hari dengan Perdana Menteri, tapi tak pernah tajuk itu kami bincang,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kemungkinan berlaku rombakan Kabinet yang dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal Disember ini, susulan kekosongan beberapa kerusi menteri. – UTUSAN










