PETALING JAYA: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berada pada tahap kesiapsiagaan optimum khususnya di Kelantan bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan paras air dan banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini, lebih 1,205 anggota APM Kelantan telah diaktifkan termasuk pasukan tambahan dari negeri-negeri berhampiran yang bersedia digerakkan pada bila-bila masa sahaja.
Katanya, berdasarkan laporan terkini bencana dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), sehingga pukul 4 petang hari ini, Kelantan antara yang terjejas teruk dengan rekod mangsa banjir tertinggi iaitu melibatkan 9,503 orang membabitkan 3,487 keluarga.
“Bagi memastikan keselamatan rakyat, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi, APM turut bersiap siaga bersama 91 aset darat dan air termasuk pelbagai jenis bot, ambulans, lori pelbagai guna, kenderaan pacuan empat roda, dron pemantauan serta peralatan menyelamat di air.
“Selain itu, operasi pemantauan situasi cuaca, paras air sungai dan kawasan cerun berisiko turut dipertingkatkan melalui pemantauan bersama Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang beroperasi 24 jam bersama Langkah Mandatori dan Tindakan Proaktif APM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Langkah Mandatori dan Tindakan Proaktif APM itu termasuk pengaktifan awal Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM di semua daerah termasuk Pasir Mas, Tumpat, Kuala Krai, Tanah Merah, Bachok dan daerah yang berisiko.
“Rondaan berkala menggunakan aset darat dan air di kawasan berisiko banjir dan hebahan maklumat terkini melalui media sosial APM serta kerjasama rapat dengan agensi lain pengurusan bencana.,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga telah memastikan semua mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dibekalkan dengan barang keperluan bencana yang secukupnya seperti makanan asas, khemah, barang keperluan diri, ubat-ubatan dan sebagainya. – UTUSAN










