GUA MUSANG: Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) mengarahkan semua pemaju dan kontraktor menghentikan sementara semua aktiviti kerja-kerja tanah bagi pembangunan di Lojing Highlands berkuat kuasa hari ini.
MDGM dalam satu kenyataan yang dibuat naik menerusi laman sosial facebook rasmi berkata, arahan itu berkuatkuasa sehingga 31 Disember ini.
Katanya, ia mengambil kira faktor cuaca tidak menentu, taburan hujan yang tinggi, risiko kejadian banjir lumpur serta tanah runtuh di kawasan terlibat.
“Semua pemaju dan kontraktor perlu mematuhi arahan ini dan memastikan langkah keselamatan cerun diambil.
“Sebarang kerja remedial atau berkaitan perlulah mendapat kelulusan jabatan teknikal terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan berkata, hujan berterusan peringkat waspada dijangka berlaku di Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang bermula selama sehingga Rabu ini.-UTUSAN










