KIULU: Kerajaan pusat mengakui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai parti dominan dalam pentadbiran negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia sekali gus menafikan soal pentadbiran negeri dikawal orang luar, sebaliknya kekal bawah parti tempatan yang memahami aspirasi rakyat.
Katanya, hubungan erat antara pusat dan negeri akan lebih ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan melawat Tuaran, dalam tempoh dua hari lagi.
“Hubungan kerajaan pusat dan negeri mesti erat, paling penting GRS yang dominan, kerajaan pusat tahu ini.
“Jangan kita bimbang, tidak ada mereka ambil dari Sabah,” katanya berucap dalam siri jelajah kempen Rumah Kita, Kita Jaga di DUN Kiulu.
Kenyataan Hajiji itu susulan kritikan terhadap keputusan GRS yang menjalankan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH), bukan bertanding solo.
Hajiji berkata, kerjasama itu mewujudkan kestabilan politik membawa pelaburan besar dan keuntungan kepada Sabah menerusi perjanjian komersial dengan Petronas yang menguntungkan.
“Kestabilan politik penting untuk kemajuan dan pembangunan negeri,” katanya.
Hajiji turut menjelaskan cadangan mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada dua adalah langkah terbaik memastikan kepimpinan negeri ditadbir dengan telus.
“Kita setuju had untuk seseorang ketua menteri hanya dua penggal, bagi kita itu yang terbaik. Tak perlu lama-lama,” katanya yang mengulas manifesto Warisan yang tidak menyentuh langsung mengenai had penggal jawatan ketua menteri, berbeza dengan pendirian jelas GRS yang mengumumkan dasar tersebut lebih awal.
Selain GRS, Barisan Nasional (BN) juga menawarkan aku janji had tempoh maksimum dua penggal bagi jawatan ketua pentadbiran negeri jika parti itu dipilih pada PRN Sabah pada Sabtu ini. – UTUSAN










