Kelab Pengacaraan UPM jadi tulang belakang Konvokesyen ke-49

Kelab Pengacaraan UPM jadi tulang belakang kelancaran Majlis Konvokesyen ke-49

Ahli Kelab Pengacaraan Universiti Putra Malaysia (UPM) membuat persediaan untuk Majlis Konvokesyen Ke-49.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELAB Pengacaraan Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran Majlis Konvokesyen UPM menerusi pemilihan bakat yang teliti serta latihan intensif bagi memperkukuh pengacaraan dan penyebutan nama graduan.

Penolong Pendaftar Pejabat Naib Canselor merangkap penasihat kelab, Raja Muhammad Muzamir Raja Mahadi berkata, kelab itu kini menjadi komponen utama dalam protokol majlis, terutama melalui tugas penyebut nama yang memerlukan ketepatan, kejelasan dan profesionalisme tinggi.

“Pemilihan dilakukan setiap tahun melalui uji bakat ‘Pencarian Suara Emas’. Hanya pelajar yang mempunyai suara berkualiti, sebutan jelas dan keyakinan tinggi dipilih,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa peranan penyebut nama bukan sekadar membaca senarai graduan, tetapi platform latihan komunikasi rasmi yang mengasah keyakinan, kawalan intonasi dan etika pengacaraan pelajar. Ramai peserta turut diberi peluang menjadi pengacara majlis di peringkat universiti dan program luar.

Latihan intensif merangkumi aspek sebutan nama yang tepat, pengawalan tempo, intonasi dan protokol majlis rasmi, sekali gus mempersiapkan pelajar dengan kemahiran komunikasi setaraf industri.

Pelajar Bacelor Sains Pengajian Makanan dengan Kepujian daripada Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Farwizah Hazwani Abd Hamid, yang menyertai pasukan itu selama tiga tahun, menyifatkan pengalaman tersebut sebagai latihan berharga dalam membina keyakinan dan kemahiran komunikasi.

“Belajar tetap menjadi keutamaan kami sebagai pelajar. Saya akan siapkan tugasan universiti sebelum latihan supaya dapat memberi fokus penuh. Penjagaan suara juga penting dan saya akan elakkan minuman berais dan makanan berminyak sebelum majlis,” katanya.

Peranan Kelab Pengacaraan UPM bukan sahaja memastikan perjalanan Majlis Konvokesyen berlangsung lancar dan teratur, malah menjadi medium pembangunan bakat komunikasi pelajar secara menyeluruh.

Melalui pemilihan bakat yang tersusun dan latihan berstruktur, kelab ini terus melahirkan pelajar yang berkeyakinan, berdisiplin dan bersedia mengendalikan majlis rasmi di dalam serta luar universiti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN