ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kegagalan atau kelewatan dalam penyelidikan bukanlah noktah, sebaliknya merupakan komponen penting dalam proses pembelajaran.
Baginda merangkap Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) bertitah, cabaran itu perlu dijadikan sebagai latihan untuk memperkukuh kekuatan minda dan emosi, bukannya beban yang mematahkan semangat.
“Jangan sesekali menghadapi tekanan berseorangan dengan rakan penyelidik, penyelia, keluarga tersayang dan rakan sekerja boleh menjadi sumber kekuatan. Kadang kala, sekadar didengari pun sudah cukup untuk meringankan beban,” titah baginda menyempurnakan sidang ketiga Istiadat Konvokesyen Ke-20 Unimap di Dewan Tuanku Canselor Kampus Alam, Pauh Putra di sini semalam.
Pada sidang tersebut, seramai 521 graduan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) menerima penganugerahan masing-masing.
Seterusnya baginda menyeru, dalam usaha mengejar kecemerlangan akademik dan profesional, para graduan jangan sesekali mengabaikan asas kesejahteraan diri merangkumi rehat mencukupi, pola tidur teratur, pemakanan seimbang, senaman berkala serta hubungan harmoni bersama insan tersayang.
Titah baginda, kesihatan tubuh dan ketenangan minda merupakan tonggak utama bagi prestasi yang benar-benar cemerlang.
“Dalam dunia akademik dan profesional, graduan digalakkan untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
“Namun pada masa sama, memberi ruang untuk berehat, mendapatkan sokongan dan menghargai keletihan diri adalah langkah bijaksana demi mengekalkan kesejahteraan serta prestasi jangka panjang,” titah baginda. – UTUSAN










