Karya yang terhasil dengan keringat - Utusan Malaysia

Karya yang terhasil dengan keringat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENCIPTA baharu serta berpengalaman berlumba-lumba menghantar lagu kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sebaik sahaja Biduanita Negara itu mengwar-warkan perancangan menghasilkan sebuah album tradisional.

Kira-kira lebih 200 lagu telah diterima penyanyi nombor satu negara itu, yang kesemuanya kemudiannya disaring untuk mendapatkan 10 lagu terbaik bagi album Gema Bumantara.

Siti berada pada kedudukan mencabar sepanjang proses tersebut. Beliau tersepit antara keinginan melunaskan hasrat pencipta lagu dengan memilih 10 lagu terbaik.

Namun penyanyi bersuara emas itu bersikap realistik dan profesional dalam membuat keputusan bagi memastikan album yang juga buah tangan terbaru untuk peminat itu menjadi karya terbaik dan paling istimewa sepanjang tiga dekad karier seninya.

Maka selepas beberapa bulan, barulah Siti memuktamadkan 10 karya sentuhan komposer serta penulis lirik yang terdiri daripada generasi baharu dan lama sebagai nadi, jiwa dan roh Gema Bumantara.

Antara pencipta terlibat menjayakan album itu adalah Firdaus Rahmat, Iqie Hugh, Usop Kopratasa, Hafiz Hamidun, Aubrey Suwito, Omar K, Shazriq Azeman, Aiman Sidek, Wan Saleh, Affan Mazlan, Danish Norr.

Turut terbabit adalah Aisha Retno, RADi, Melly Goeslaw, Amni Musrifah, Irena Taib dan Jamilah Abu Bakar, Ahmad Fedtri Yahya serta Datuk Habsah Hassan.

Siti sejak dulu memang sinonim dengan keterbukaan beliau dalam bekerjasama dengan pencipta lagu tanpa mengukur status komposer atau pencipta lirik berkenaan.

Paling diutamakan beliau adalah kreativiti dan kualiti karya yang disumbangkan menepati hala tuju penghasilan Gema Bumantara sebqagai penyambung legasi irama tradisional.

“Sebenarnya bukan mudah untuk memilih lagu yang sesuai dan bertepatan dengan konsep album ini. Tanggungjawab yang saya pikul besar sebenarnya. Apatah lagi peminat juga lama berharap dan menantikannya.

“Kerana itu, saya tidak pernah memandang enteng soal pembikinan album kerana saya mahu menghadiahkan karya terbaik dan berkualiti kepada peminat,” katanya.

Kata Siti, Gema Bumantara bukan sekadar meraikan kreativiti pencipta lagu berpengalaman, malah pengkarya muda yang berkredibiliti dan berkemampuan menyuntik nilai kemodenan tanpa menjejaskan keindahan seni muzik tradisional.

“Boleh dikatakan ramai juga pencipta muda yang terlibat dalam pembikinan album saya kali ini. Mereka ini berkebolehan dan ada dalam kalangan mereka pernah menuntut ilmu muzik di luar negara serta menang pelbagai anugerah.

“Jadi kemampuan mereka ini tidak boleh dipertikaikan. Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan hasil kerja mereka,” kongsinya.

HORMATI PENCIPTA LAGU

Kemampuan Siti mengindahkan lagu tradisional tidak perlu dipersoalkan. Malah penyanyi kesayangan ramai ini tidak perlu juga beriya-iya membuktikan kemampuan itu.

Namun, penyanyi tersohor Asia ini sentiasa menghormati karya dan mendahulukan keinginan komposer dan penulis lirik dalam sesebuah lagu.

“Setiap pencipta lagu termasuklah yang muda berpegang kepada prinsip dan keinginan masing-masing terhadap lagu yang mereka berikan kepada saya.

“Sebagai penyanyi, saya hormati dan bukan sesuka hati mengikut kehendak sendiri dalam menyanyikan lagu mereka.

“Kalau ikutkan memanglah saya juga berkeinginan untuk mencorakkan nyanyian sendiri. Tetapi bila difikir semula, terdapat melodi yang disayangi pencipta-pencipta ini yang perlu saya jaga dan kekalkan” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN