Kampung Melayu Lama Air Itam dicalonkan sebagai Tapak Warisan

Kampung Melayu Lama Air Itam dicalonkan sebagai Tapak Warisan

WONG Hon Wai ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kampung Melayu Lama Air Itam di sini telah dicalon untuk diwartakan sebagai Tapak Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, ketika ini, pihaknya sedang dalam proses untuk mendapatkan persetujuan daripada pemilik tanah serta kelulusan Pihak Berkuasa Negeri sebelum Jabatan Warisan Negara boleh membuat tindakan lanjut bagi tujuan pewartaan rasmi.

“Langkah ini (mencalonkan Kampung Melayu Lama Air Itam sebagai Tapak Warisan) mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memelihara dan melindungi tapak-tapak warisan bersejarah serta kampung tradisional sebagai sebahagian daripada identiti budaya Pulau Pinang,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Hon Wai berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Muhamad Kasim (PN-Teluk Bahang) yang bertanyakan mengenai kawasan atau kampung-kampung yang telah diwartakan sebagai kampung warisan atau zon warisan di negeri ini.

Jelas Hon Wai, pencalonan sesebuah kampung atau kawasan tidak hanya bergantung kepada elemen peninggalan sejarah semata-mata, sebaliknya, ia mesti disokong oleh faktor kehidupan komuniti setempat.

“Selain daripada peninggalan sejarah, ia amat penting kerana tempat itu perlu ada sejarah barulah boleh dianggap sebagai warisan. Tetapi apa yang lebih penting lagi adala kawasan tersebut perlu dihuni,” katanya.

Katanya, kewujudan penduduk yang masih aktif menjalankan kegiatan sosial, seni dan kemasyarakatan menjadi antara kriteria utama bagi menentukan nilai sesebuah kawasan sebagai tapak warisan dan Kampung Melayu Lama Air Itam memenuhi ciri-ciri tersebut selain mempunyai elemen sejarah yang signifikan melalui kewujudan makam Sheikh Omar.

“Kita membuat pencalonan kerana makam Sheikh Omar di sana mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Ia merupakan salah satu sumber penyebaran Islam di Pulau Pinang dan Sheikh Omar adalah bukti awal kedatangan Islam di negeri ini,” katanya yang memberitahu, sesuatu tapak juga perlu memiliki universal value melibatkan sejarah, komuniti penghuni serta aktiviti kemasyarakatan yang masih berjalan.

Tambah Hon Wai, selain itu, Jabatan Warisan Negara juga telah menetapkan beberapa kriteria khusus sebelum sesebuah kawasan boleh dijadikan tapak warisan dan setiap pihak yang ingin membuat pencalonan perlu mengemukakan borang lengkap bersama maklumat penting yang diperlukan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×