KUALA LUMPUR: Kadar penanaman semula sawit di negara ini masih rendah iaitu sekitar dua peratus berbanding kadar sepatutnya antara empat hingga lima peratus.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kadar yang rendah tersebut berpunca daripada beberapa faktor, termasuk kekangan dana dan kos penanaman semula yang semakin meningkat.
“Sebagai contoh, pada tahun 2024 kerajaan hanya memperuntukkan RM100 juta bagi program penanaman semula sawit pekebun kecil manakala bagi tahun 2025 peruntukannya dikurangkan kepada RM50 juta.
“Daripada jumlah itu, 50 peratus disalurkan dalam bentuk geran dan 50 peratus lagi dalam bentuk pinjaman, dengan kerajaan menanggung sebahagian kadar faedah pinjaman tersebut,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib (PN-Maran) berhubung masalah kadar penanaman semula kelapa sawit di negara ini.
Dalam pada itu, Johari berkata, kadar penanaman semula dalam kalangan pekebun kecil adalah yang paling rendah, iaitu sekitar satu peratus bagi pekebun kecil berorganisasi dan 0.7 peratus bagi pekebun kecil persendirian.
“Bagi syarikat perladangan besar, kadar penanaman semula pula antara 2.5 hingga 3 peratus setahun,” jelasnya.
Menurut Johari lagi, ramai pengusaha memilih untuk tidak menanam semula kerana keutamaan diberikan kepada jualan hasil sedia ada, tanpa memperuntukkan dana tabungan khas (sinking fund) bagi menghadapi kejatuhan harga pada masa depan.
“Keadaan ini menyebabkan semakin banyak pokok tua yang tidak lagi produktif. Ketika ini dianggarkan terdapat 520,000 hektar pokok sawit tua di seluruh negara,” katanya.
Sementara itu Johari berkata, kementeriannya sedang merumuskan satu skim baharu bagi menambah baik kos penanaman semula, yang dijangka diumumkan tahun depan. – UTUSAN










