KUALA LUMPUR: Pelakon, Aedy Ashraf, mengakui walaupun filem Klepet lakonannya dipenuhi dengan jenaka, namun kepenatan untuk menjayakan naskhah itu masih terasa.
Jelas Aedy atau Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 32, faktor bajet produksi yang terhad menyebabkan jadual penggambaran agak ketat, sekali gus memaksa mereka bekerja lebih masa bagi memastikan setiap adegan dapat disempurnakan.
“Semestinya setiap perkara ada sisi lainnya. Filem ini bajetnya tidak besar jadi tempoh penggambaran kami memang terbatas.
“Memang gelak-gelak sebab buat cerita komedi tapi penat sebab penggambaran itu masih ada.
“Ada hari kami bekerja lebih masa. Kena bangun sangat awal dan habis lambat. Tapi bagi saya ia perkara biasa dalam set penggambaran,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Klepet menelan belanja RM2.6 juta dengan 25 hari penggambaran di Melaka.
Bagaimanapun, Aktor Filem Popular, Anugerah Bintang Popular ke-36 itu bersyukur kerana suasana di set penggambaran sangat meriah apalagi dia dan semua pelakon memang bersahabat baik di luar filem.
“Tapi bila nak buat sesuatu filem dan dikelilingi kawan-kawan, kepenatan itu rasa berbaloi. Apa saya boleh cakap, di set memang kecoh habis membuatkan suasana di set sangat seronok terutama sebab ada abang Joey Daud.
“Saya selalu sebut nama dia sebab dia seorang legenda. Tanpa dia, set tidak akan semeriah ini.
“Boleh dikatakan dia banyak melabur idea untuk filem ini dan bagi cadangan lawak. Cara dia mengajar dan berkongsi ilmu membuatkan kami sangat selesa,” katanya.
Klepet menceritakan tiga sekawan iaitu Paly, Jany, Wany yang tinggal di dalam ‘motorhome’ untuk menggambara. Namun keadaan menjadi huru-hara selepas kemunculan gadis dari Ukraine.
Filem ini bakal menemui penonton bermula 27 November ini. -UTUSAN










