PETALING JAYA: Gelombang pertama banjir akibat Monsun Timur Laut terus meningkat apabila mencatatkan 11,009 mangsa setakat pukul 7 pagi ini.
Berdasarkan laporan terkini Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), sebanyak tujuh negeri terjejas akibat banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Menurutnya, sebanyak 60 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan membabitkan 14 daerah di negeri-negeri terjejas membabitkan 3,839 keluarga.
Di Kelantan terus mencatatkan pertambahan mangsa dipindahkan dan tertinggi iaitu membabitkan 8,228 mangsa ke 33 PPS.
Empat daerah di negeri tersebut terjejas buat masa ini iaitu Tumpat, Kota Bahru, Bachok dan Pasir Puteh.
Di Perak, terdapat 907 mangsa dipindahkan setakat ini membabitkan 291 keluarga dari daerah Perak Tengah, Manjung, Larut, Matang dan Selama serta Batang Padang.
Di Perlis, secara keseluruhannya terdapat lima PPS diaktifkan bagi menempatkan seramai 694 mangsa.
Di Kedah, daerah Kulim dilaporkan terjejas akibat banjir dengan 404 mangsa dipindahkan di tiga PPS.
Di Pulau Pinang, dua daerah dilaporkan terjejas iaitu Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah membabitkan 381 mangsa.
Di Terengganu, seramai 369 mangsa dipindahkan di daerah Besut setakat ini membabitkan dua PPS.
Di Selangor, seramai 26 mangsa dipindahkan ke satu PPS yang dibuka di Sabak Bernam selepas kediaman mereka dinaiki air akibat banjir. – UTUSAN










