SEPANG: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) perlu memanfaatkan penguatkuasaan berasaskan data, sistem trafik pintar dan inovasi teknologi dalam menangani cabaran keselamatan serta mengurangkan kadar kemalangan maut.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, jabatan itu perlu menjadi tonggak utama dalam keselamatan jalan raya di negara ini.
“Jalinan kerjasama strategik bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan raya Malaysia (MIROS) dan Jabatan Kerja Raya turut digerakkan bagi meningkatkan penyelarasan dasar.
“Ini termasuk bidang kejuruteraan dan penguatkuasaan untuk meningkatkan keberhasilan penyampaian perkhidmatan pasukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian PDRM Special Dialogue (PSD) IV 2025 di sini, hari ini yang dianjurkan JSPT.
Mohd Khalid berkata, PSD mencerminkan komitmen berterusan PDRM untuk menjadi organisasi dinamik dan responsif dengan memperkukuhkan kerjasama dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan melalui pemerkasaan dasar, pertukaran pandangan, kepakaran, inovasi dan teknologi.
“PSD Edisi Ke-4 ini bakal memainkan peranan penting sebagai platform penyelesaian masalah secara kolektif. Peserta akan meneliti kemajuan terkini dalam integrasi data trafik, AI, dan mobiliti pintar, serta membincangkan kerjasama rentas sempadan dan strategi serantau untuk memperkukuh keselamatan jalan raya.
“Dengan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan, acara ini diharap dapat memupuk budaya inovasi dan pembuatan keputusan berasaskan bukti,” katanya.
Katanya, pihaknya komited memastikan setiap pengguna jalan raya di negara ini selamat, cekap dan berhemah selaras Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030 dan Vision Zero. – UTUSAN









