PETALING JAYA: Sebanyak 3,982 aduan baharu kerosakan jalan berlubang diterima Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara setakat November tahun ini.
Secara keseluruhan, sejak 2016 hingga 2025, sebanyak 968,268 aduan kerosakan jalan diterima melalui saluran aduan rasmi JKR.
Menurut Ketua Bahagian Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ) JKR, Muhammad Shukeri Mohamad, isu jalan berlubang dan kerosakan turapan jalan bukan hanya berpunca daripada banjir semata-mata.
“Perlu dijelaskan bahawa kerosakan jalan yang berlaku bukan berpunca daripada banjir semata-mata.
“Faktor lain seperti usia turapan, trafik kenderaan berat, keadaan struktur tanah serta cuaca yang tidak menentu turut menyumbang kepada berlakunya kerosakan di beberapa lokasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Muhammad Shukeri berkata, pihak teknikal sedang memuktamadkan anggaran keseluruhan kos pembaikan, termasuk bagi kerja-kerja penurapan semula di kawasan yang dikenal pasti mengalami kerosakan serius.
“Anggaran kos pembaikan pula berbeza mengikut tahap kerosakan dan keperluan penurapan semula di setiap kawasan.
“Kerja pembaikan dilaksanakan secara berfasa dengan keutamaan diberikan kepada lokasi yang berisiko tinggi demi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Katanya, JKR sentiasa memantau jaringan jalan raya di seluruh negara secara, selain menjalankan kerja penyelenggaraan dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan peruntukan diluluskan. – UTUSAN










