HISHAM begitu khusyuk menyiapkan kerjanya. Jari-jemarinya ligat menaip di komputer. Kopi panas di atas mejanya sesekali dihirup. Hisham begitu tekun sewaktu bekerja. Jawatannya sebagai
Guru Besar di salah sebuah sekolah di ibu kota membuatkan dia sentiasa sibuk.
Dia menjeling ke arah jam dinding. Lagi 30 minit dia akan bermesyuarat dengan beberapa guru berkaitan sambutan Hari Guru yang bakal tiba tidak lama lagi. Beberapa kerani mundar-mandir mengambil pelbagai dokumen tekun menyiapkan tugasan.
Hisham mengangkat cawan berisi kopi panas lalu dihirupnya perlahan-lahan. Namun matanya tertancap kepada sebuah fail berwarna kuning di atas meja. Hisham membuka fail itu. Beberapa helai surat aduan terpampang dengan pelbagai perkara yang benar-benar membuatkan hatinya resah dan gelisah. Salah satu surat itu ditujukan kepada seorang gurubernama Cikgu Samad.
Dia sudah lama mengenali sosok tubuh cikgu tua itu. Cikgu Samad sudah mengajar selama 32 tahun dan dua tahun lagi dia bakal bersara wajib di sekolah itu.
Dalam aduan itu, pengadu, bapa kepada murid Tahun 5 telah memberitahu Cikgu Samad mendenda anaknya kerana tidak menyelesaikan tugasan yang telah diberi. Aduan panjang lebar itu membuatkan kepala Hisham berdenyut-denyut tiba-tiba. Hisham mengeluh panjang.
Ah, apalah hendak jadi? Perkara sekecil ini pun hendak dijadikan isu besar. Salah anaknya tidak menyiapkan kerja sekolah. Hendak diberi pujiankah jika tugasan tidak selesai atau hendak dibiarkan sahaja? Omel Hisham.
Adakah masyarakat tahu kerjaya seorang guru itu sangat mulia? Bahkan gurulah yang mengajar mengenal huruf dan angka sehinggalah murid-murid itu pandai?
Hari ini kerjaya seorang guru itu bukan sahaja meliputi pengajaran dan pembelajaran malah diperluas lagi dengan pelbagai kerja pengkeranian sehingga menjadi rutin tugasan hakiki mereka.
Kerjaya seorang guru itu terlalu luas jika mahu diperdebatkan oleh masyarakat. Bukan sahaja sebagai ibu bapa, malah boleh pula menjadi pengasuh, jururawat, tukang bersih dan menjadi apa-apa sahaja mengikut situasi bersama-sama murid.
Kesemua tugasan sampingan itu sebenarnya tidak termaktub dalam perjanjian selain mengajar dan mendidik murid-murid di sekolah. Walaupun begitu, seorang guru itu akan tetap menerima segalanya dengan hati terbuka meskipun sudah tahu tugas mereka yang sebenarnya! Inilah keistimewaan guru yang tiada pada kerjaya lainnya.
Tahukah masyarakat aspek kemenjadian murid itu? Jika masyarakat menghayati Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang intipatinya memfokuskan enam ciri murid yang menjadi aspirasi negara, iaitu murid berpengetahuan, berkemahiran berfikir, berkemahiran memimpin, berkemahiran dwibahasa, beretika dan berkerohanian serta mempunyai identiti nasional maka masyarakat akan sedar murid akan dinilai dalam semua program dan aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang dijalankan oleh guru dan pihak sekolah.
Bukannya masyarakat hanya mengajukan ‘kemenjadian’ anak-anak mereka itu dengan persoalan yang lebih keliru dan tidak berasas? Inilah dilema setiap sekolah jika ada ibu bapa lepas tangan dengan menyerahkan bulat-bulat pencapaian anak mereka ketika berada di sekolah.
“Cikgu, cikgu!” Panggil seorang kerani secara tiba-tiba.
Hisham tersentak. Dia kembali berpijak di bumi nyata. Sebentar tadi, dia banyak mengelamun memikirkan tentang kerjaya seorang guru.
“Ada apa Puan?” soal Hisham tatkala melihat wajah Puan Mia pucat.
“Cikgu datang ke bilik guru sekarang!”
Hisham tergumam. Dia bingkas bangun dari kerusi dan berjalan laju menuju ke bilik guru. Tatkala dia sampai di situ, dia hanya melihat Cikgu Samad seorang sahaja yang berada di situ dengan wajah yang terpinga-pinga kehairanan. Dia juga mendengar suara riuh-rendah di beberapa kelas di bahagian atas bangunan dua tingkat itu.
Hisham meluru keluar dari Bilik Guru dan mendongak ke bahagian atas bangunan. Dia menggaru-garu kepala yang tidak gatal tatkala melihat murid-murid keluar masuk ke dalam kelas tanpa pengawasan guru. Ada di antara murid-murid itu berlari dan bermain kejar-mengejar di kaki lima sehinggakan suasana agak kelam-kabut. Apa yang berlaku sebenarnya?
Kemudiannya, Hisham berlari memijak anak-anak tangga menuju ke bahagian atas bangunan dua tingkat itu dengan tergopoh-gapah. Dari satu kelas ke satu kelas langsung tidak ada kelibat seorang guru pun di dalam kelas. Murid-murid di dalam semua kelas itu berbuat bising. Ada di antara mereka yang bergaduh sesama sendiri. Seorang murid perempuan tiba-tiba menangis dan menerpa ke arah Hisham.
“Cikgu, cikgu tengok Leman. Dia ketuk kepala saya!” kata murid perempuan Tahun 2 itu sambil menangis teresak-esak.
“Mana cikgu kamu? Sekarang masa apa?” Soal Hisham kembali dengan mata yang terbeliak.
Murid perempuan itu tidak menjawab. Dia hanya menunjukkan sebuah tas tangan berada di atas meja. Hisham tersentak.
“Tadi Cikgu Jelina ada di dalam kelas. Kami semua sedang belajar subjek Bahasa Melayu. Tapi, tiba-tiba sahaja Cikgu Jelina hilang dari dalam kelas. Kami pun tak tahu ke mana Cikgu pergi.”
Terang murid lelaki yang datang dari arah belakang Hisham.
Hisham hanya kaku seperti patung cendana. Otaknya kiam tanpa dapat berfikir. Kemudiannya, dia berasa bahunya dicuit seseorang. Tatkala dia menoleh, dia hanya melihat Cikgu Samad dan seorang kerani sedang merenung wajahnya dengan perasaan curiga.
“Kami telah pergi ke semua kelas dan kami dapati semua guru telah hilang. Kami juga dapati barang-barang berharga seperti tas tangan, kunci kereta, telefon bimbit masih ada di atas meja guru-guru itu tanpa diusik. Kejadian ini cukup aneh. Mengapa semuanya hilang serentak?” Soal Cikgu Samad
Hisham melongo. Barangkali mereka protes gara-gara pelbagai aduan yang telah diterimanya sejak semalam.
“Arahkan semua pengawas mengawasi murid di dalam kelas. Kita akan buat perjumpaan tergempar sekarang. Puan Afzan, mohon telefon segera Pegawai B, Pengerusi A dan semua ahli hadir sekarang di Bilik Mesyuarat. Cikgu Samad, kamu ikut saya.” Arah Hisham sambil berlalu pergi ke Bilik Mesyuarat.
Di Bilik Mesyuarat Hisham hanya termanggu-manggu memikirkan peristiwa aneh itu. Seumur hidupnya belum pernah dia menghadapi situasi sebegitu. Jika seorang atau dua guru tidak ada serentak, dia tidak kisah. Itu perkara biasa sahaja tetapi jika kehilangan guru itu melibatkan 20 orang serentak, dia sangat hairan.
Dia memandang kipas yang berputar ligat. Meskipun angin yang berlegar-legar di bilik itu sejuk tetapi dia dapat merasakan tubuhnya terlalu panas pada waktu itu. Beberapa kali dia mengelap peluh di dahi dengan lengan bajunya. Beberapa kali jugalah dia mengusap-ngusap wajahnya namun kesemua itu tidak dapat meredakan hatinya tatkala itu.
“Betulkah apa yang saya dengar ini?” Tiba-tiba dari arah belakang Hisham muncul Pengerusi A dan ahlinya yang datang menerpa ke arah Hisham.
Hisham hanya menganggukkan kepalanya berulang kali. Kemudiannya, kesemua mereka itu duduk dan bersandar di kerusi masing-masing diam membisu.
Dua Pegawai B turut menggaru-garu kepala tatkala mendengar keterangan daripada Cikgu Samad dan Puan Esah manakala Hisham masih diam dengan keningnya yang berlaga seakan-akan memikirkan sesuatu.
Selama 30 minit mereka berbincang tentang kejadian itu, namun masih tidak mencapai sebarang keputusan.
Hisham hanya mengitari kawasan di sekeliling dengan pandangan kosong. Masalah disiplin murid pada masa kini dilihat semakin meruncing dan kompleks, malah sebahagiannya telah melangkaui isu disiplin biasa hingga melibatkan kes-kes jenayah dan isu psikososial yang serius. Dua minggu lalu dia turut terpalit dengan satu peristiwa yang tidak sengaja berlaku.
Waktu itu, dia sedang meronda kawasan sekolah. Dia telah meminta seorang murid lelaki tahun 5 yang berlegar-legar di kawasan itu untuk mengutip kertas-kertas yang bertaburan di kaki lima di luar bilik darjah.
Namun tindakan murid itu cukup membuatkan nafas Hisyam sesak. Murid lelaki itu mengutipnya tetapi mengoyakkan kertas itu lalu dihamburkan di hadapan Hisham. Kertas itu jatuh bertaburan kembali. Murid lelaki itu melihat ke arah Hisham sambil tersengih
Tanpa berlengah, Hisham memanggil murid lelaki itu. Murid lelaki itu dibawa oleh Hisham ke pejabat. Di situ Hisham memberikan nasihat dan menyuruh murid lelaki itu meminta maaf.
Namun, sesuatu yang tidak diduga terjadi. Kira-kira pukul 5 petang tika Hisham hendak pulang ke rumah. Sebuah kereta memintas Hisham di pekarangan sekolah. Keluar seorang lelaki bengis datang ke arah Hisham sambil bertanyakan apa yang telah Hisham lakukan kepada anaknya yang menangis ketika dia pulang ke rumah? Hisham terpinga-pinga kehairanan.
“Cikgu dah malukan anak saya tadi. Kenapa suruh anak saya minta maaf sedangkan dia tak buat apa-apa kesalahan?” Berang sahaja pertanyaan lelaki itu kepada Hisham.
“Encik, anak encik koyak kertas di hadapan saya. Saya minta dengan elok agar dia kutip dan buangkan kertas. Itu sahaja.” Jawab Hisham menerangkan keadaan sebenar.
“Cikgu, jangan ajar anak saya macam zaman dulu!” Bentaknya lagi.
Hisham melihat ke dalam mata lelaki itu. Langsung tidak ada rasa hormat kepada guru. Dan kemudiannya Hisham menyedari dari situlah masalah sebenar bermula. Adab telah hilang. Bagaimana menjadi role model sekiranya bersikap begitu. Lantas Hisham teringat kisah ketika dia masih bersekolah rendah. Dia juga nakal tetapi tidaklah buruk adabnya.
Hisham juga teringat bagaimana dia disebat dengan rotan oleh seorang ustaz kerana bermain di dalam kelas. Hisham hanya akur dan tidak berani mengadu kepada ayahnya. Tetapi apabila
Hisham pulang ke rumah, Hisham teruk dirotan oleh ayahnya sehingga berbirat di belakang tubuhnya. Hisham juga tidak tahu dari mana ayahnya mendapat tahu dia dirotan namun, itulah situasi sebenar pendidikan akhlak dan adab di sekolah pada masa dahulu. Begitu besar jasa sebatang rotan itu kepada Hisham sehingga ke hari ini dia masih merasa kesakitan itu. Di hujung rotan itu terselit hikmah keinsafan bagi yang pernah merasainya.
Beberapa minit kemudian, tiba-tiba kedengaran bunyi telefon bimbit Pengerusi A membuatkan Hisham tersentak. Pengerusi A melihat ke skrin telefon bimbitnya berulang kali dan kemudiannya menjawab panggilan telefon itu.
“He..Helo, siapa?”
“Semua cikgu hilang, jadi baru tuan tahu betapa pentingnya cikgu kepada murid?” Soal satu suara garau dari telefon bimbit itu sambil ketawa.
Muka Pengerusi A berubah menjadi merah padam. Dia sangat marah kerana dipermain-mainkan sebegitu. Sebelum ini tidak ada orang yang pernah mempertikaikan kewibawaannya sebagai seorang ketua. Malah dia sentiasa dihormati dalam masyarakat. Keegoannya tiba-tiba tercalar.
“Saya faham sekarang. Adab dan akhlak dalam sistem pendidikan itu sangat penting, jadi apa yang perlu saya lakukan untuk mengembalikan guru-guru yang telah hilang ini?” Soal Pengerusi A dengan nada yang kesal.
“Selepas ini kita sama-sama mendidik anak-anak di sekolah ini. Percaya dan hormatilah setiap tindakan kami. Jangan lekas menuding jari. Itu sahaja yang kami mahukan!” Jawab suara garau itu tegas.
Pengerusi A hanya mengangguk-anggukkan kepala tanda akur dengan permintaan itu manakala Pegawai B pula hanya tersenyum melihat ke arah Hisham.
Dan tatkala itu, Cikgu Samad berlalu pergi dengan senyuman melebar tanpa sesiapa pun yang mengetahuinya. – UTUSAN










