Jaring ikan terpakai jadi perisai serangan dron di Ukraine

Jaring ikan terpakai jadi perisai serangan dron di Ukraine

AHLI pertubuhan kebajikan Perancis, Kernic Solidarités, menyusun jaring ikan untuk dihantar ke Ukraine. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA dahulu digunakan untuk menangkap ikan di laut, kini jaring ikan terpakai dari pesisir pantai Perancis diberi nafas baharu apabila dikitar semula untuk melindungi jalan raya serta infrastruktur tentera Ukraine daripada serangan dron Russia.

Jaring nipis berwarna hijau itu dikumpulkan dalam beg guni putih besar sebelum dimuatkan ke dalam lori untuk dihantar ke Ukraine, di mana ia digunakan bagi menjerat dron Russia di udara.

“Baunya busuk seperti ikan reput,” seloroh sukarelawan, Christian Abaziou, 70, sambil mengangkat cebisan jaring lama di pelabuhan Roscoff, wilayah Finistere di barat Brittany, Perancis.

Abaziou bersama rakannya, Gerard Le Duff, 63, merupakan sukarelawan di bawah pertubuhan Kernic Solidarites yang menanti ketibaan jaring-jaring terpakai untuk dihantar ke Ukraine.

Pada awal Oktober lalu, mereka menghantar kira-kira 120 kilometer jaring ke Ukraine, manakala satu lagi penghantaran sejauh 160 kilometer berlepas pada Jumaat dari bandar berhampiran, Treflez.

“Ketika kami mula menjalankan misi kemanusiaan tiga tahun lalu, perang menggunakan dron masih belum wujud,” kata Gerard yang juga Presiden pertubuhan tersebut.

Russia kini menggunakan pelbagai jenis dron, termasuk yang menyerupai dron komersial tetapi dilengkapi bahan letupan dan mampu menyerang sehingga 25 kilometer dari barisan hadapan.

Bagi menangkis ancaman itu, penduduk Ukraine memasang jaring di sepanjang jalan dan kawasan strategik, membentuk ‘perangkap udara’ bagi menjerat dron yang mendekati seperti serangga tersangkut dalam sarang labah-labah.

Sementara itu, menurut Timbalan Pengarah Pelabuhan Roscoff, Marc-Olivier Lerrol, pelabuhan tersebut mengumpulkan antara 20 hingga 25 tan jaring setahun untuk dikitar semula.

“Jika boleh membantu untuk tujuan baik, lebih bermakna daripada sekadar dibuang,” katanya.

Jaring-jaring berkenaan turut disimpan bersama bekalan makanan bayi, ubat-ubatan dan sup sebelum dihantar ke sempadan Poland sejauh lebih 2,000 kilometer untuk dipindahkan ke lori Ukraine di mana konvoi pertama menuju ke bandar Zaporizhzhia.

Penghantaran kedua akan diteruskan ke Kherson di mana lokasi-lokasi ini terdedah kepada serangan dron hampir setiap hari.

Seorang warga Perancis yang menetap di Ukraine bertindak sebagai penghubung antara sukarelawan Brittany dan pihak berkuasa Kyiv.

“Permintaan terhadap jaring di sini sangat tinggi. Apabila rakyat Ukraine mendengar bahawa sukarelawan dari Brittany menghantar jaring untuk menyelamatkan nyawa, ramai yang menitiskan air mata,” katanya kepada AFP.

Gerakan solidariti nelayan itu turut mendapat sambutan dari negara lain di Eropah Utara, termasuk Sweden dan Denmark yang turut menghantar jaring untuk melindungi kedudukan tentera Ukraine. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×