KAPAYAN: Wanita bukan sekadar penyokong politik tetapi tonggak strategik dalam pembangunan dengan peranan besar dalam menyara keluarga dan memastikan kesejahteraan masyarakat.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan, Datuk Jannie Lasimbang berkata, pengalaman harian wanita menjadikan mereka pemimpin isu sebenar masyarakat.
“Wanita berada di barisan hadapan dalam menangani cabaran hidup seharian. Mereka faham isu praktikal yang boleh melambatkan penyelesaian masalah dan ini memberikan mereka kelebihan dalam merancang dasar setempat,” katanya dalam siri kempen PRN Sabah.
Beliau turut menekankan bahawa kepimpinan wanita dalam politik bukan simbolik, sebaliknya didorong oleh pengalaman nyata dalam menyelesaikan isu komuniti.
“Di Kapayan, ramai isi rumah dipimpin wanita, termasuk ibu tunggal dan penjaga sepenuh masa, yang menanggung beban tanggungjawab berat setiap hari.
“Dalam tempoh setahun, Pejabat Khidmat Kapayan di bawah pimpinan saya telah membantu lebih 8,000 keluarga yang berdepan kesusahan mendesak.
“Bagi kategori wanita berisiko, ibu tunggal dan penjaga wanita, mereka menerima keutamaan dalam setiap bantuan dan program sokongan,”katanya.
Tambah beliau, data menunjukkan Kapayan BOS kini merekodkan 5,000 penerima manfaat, manakala 10,751 penduduk menerima Bantuan Am Masyarakat, dengan majoriti daripada keluarga diketuai wanita.
“Angka ini menunjukkan sumbangan besar wanita dalam mengekalkan kesejahteraan sosial, sekaligus mengukuhkan tanggungjawabnya untuk menyediakan sistem sokongan efektif,” katanya.
Selain itu, beliau memperluas rangkaian kerjasama rentas agensi dengan lebih 20 NGO, institusi dan agensi kerajaan bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga, keluarga ibu atau bapa tunggal, serta wanita berisiko.
“Kapayan bukan sahaja perlukan pemimpin yang berwibawa tetapi juga pendekatan yang praktikal dan berterusan. Wanita dalam masyarakat kita telah lama menjadi tonggak sosial paling konsisten, dan politik perlu mengiktiraf serta memberi ruang kepada peranan strategik mereka,” katanya.-UTUSAN









