TEMERLOH: Paras air Sungai Semantan yang meningkat memaksa kontraktor membuka laluan kecemasan di atas struktur jambatan konkrit yang masih dalam pembinaan hari ini, bagi kemudahan penduduk Kampung Mambang Berulang dan Kampung Sungai Dingin di sini.
Pengurus projek, Razif Mohd. Noor berkata, langkah itu diambil selepas jambatan sementara yang digunakan sebelum ini dijangka tenggelam berikutan arus sungai yang semakin deras, sekali gus menjejaskan pergerakan keluar dan masuk penduduk.
Katanya, pada masa sama laluan masuk dari Kampung Gantok ke Kampung Mambang Berulang dan Sungai Dingin tidak dapat diakses ekoran keadaan jalan yang licin dan berlopak akibat hujan serta limpahan air sungai.
“Bagi memastikan penduduk tidak terputus hubungan, pihak kontraktor membuka laluan khas di atas struktur jambatan konkrit yang sedang dibina, namun ia hanya untuk pejalan kaki dan motosikal sebagai laluan kecemasan,” katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun, Razif mengingatkan semua pengguna supaya sentiasa berwaspada dan cakna terhadap risiko kerana struktur berkenaan masih dalam kerja binaan serta perlu mematuhi sepenuhnya arahan pihak kontraktor di lokasi.
“Keselamatan adalah di bawah tanggungjawab individu. Pengguna hendaklah berhati-hati ketika melalui jambatan berkenaan terutama ketika hujan lebat dan cuaca tidak menentu,” jelasnya.
Seorang penduduk, Marto Marijo, 62, berkata, lebih 600 penduduk di Kampung Mambang Berulang dan Sungai Dingin berisiko menjadi seolah-olah ‘pulau’ jika paras air Sungai Semantan terus meningkat sebagai mana kejadian banjir besar sebelum ini.
“Kalau air naik lagi, kami bimbang putus hubungan sama sekali. Sebab itu kami berharap sangat disediakan sekurang-kurangnya dua buah bot sebagai kenderaan kecemasan untuk penduduk yang memerlukan, terutama pesakit tenat dan wanita yang mahu bersalin,” katanya.
Menurutnya, keperluan bot dan kemudahan logistik yang mencukupi juga penting bagi menyelaras penghantaran bantuan makanan kepada penduduk yang masih belum berpindah, tetapi terpisah oleh Sungai Semantan apabila air terus melimpah.
Beliau berkata, penduduk juga berharap semua pihak berkaitan sentiasa memantau keadaan semasa dan menambah baik keperluan logistik jika trend kenaikan air berterusan. – UTUSAN










