GEORGE TOWN : Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mempunyai apa-apa obligasi atau kewajipan untuk membayar sebarang bentuk sewaan, pampasan atau bayaran kepada Kedah.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia adalah jelas dan termaktub dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyenaraikan negeri tersebut setaraf dengan negeri-negeri lain.
“Berdasarkan Perjanjian 1869 antara British dan Kedah serta peruntukan Perkara 167(7) dan Perkara 169(a) Perlembagaan Persekutuan, apa-apa komitmen bayaran tahunan yang wujud pada zaman pentadbiran British telah berpindah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan bukan kerajaan negeri Pulau Pinang.
“Jadi, dari sudut undang-undang, Pulau Pinang tidak mempunyai apa-apa obligasi untuk membayar sebarang bentuk sewaan, pampasan atau bayaran kepada Kedah dan kedudukan ini selaras dengan evolusi perlembagaan negara serta struktur Persekutuan Malaysia,” katanya ketika sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Isu kedudukan Pulau Pinang kembali hangat selepas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi mendakwa bahawa Pulau Pinang merupakan wilayah Kedah dan berada dalam status pajakan minggu lepas.
Muhammad Sanusi turut memaklumkan bahawa Kedah sedang dalam proses melantik pasukan peguam untuk memulakan tindakan undang-undang berkaitan hubungan negeri itu dengan Pulau Pinang, yang menurutnya akan dibuat berdasarkan ‘fakta sejarah dan asas undang-undang’.
Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu, sempadan negeri juga telah ditetapkan secara muktamad melalui Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 [Akta 325] yang digubal di Parlimen mengikut peruntukan Perkara 2, Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, kerajaan negeri menolak sekeras-kerasnya sebarang naratif, provokasi atau mesej kebencian yang dimainkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab sehingga mampu menggugat keharmonian awam.
“Pulau Pinang ialah sebuah negeri yang berdaulat dalam Persekutuan, dan segala komitmen kewangan sejarah yang melibatkan Kedah adalah urusan Kerajaan Persekutuan,” katanya yang menjelaskan, kerajaan negeri akan terus menghormati kedudukan Perlembagaan Persekutuan dan memastikan hubungan antara negeri terpelihara berdasarkan lunas undang-undang.-UTUSAN










