KUALA LUMPUR: Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf telah memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam atas sabitan salah dan hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan anak lelakinya, Zayn Rayyan Abdul Matin, dua tahun lalu.
Menurut notis yang difailkan hari ini melalui firma guaman, Tetuan Haresh Mahadevan & Co., Ismanira merayu terhadap keseluruhan keputusan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Oktober lalu.
Pada 31 Oktober lalu, Hakim Dr. Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman penjara lima tahun di Penjara Kajang terhadap Ismanira.
Selain itu, mahkamah juga mengeluarkan perintah bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM3,000 yang perlu dijamin oleh seorang penjamin warganegara Malaysia, serta perintah khidmat masyarakat sebanyak 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat tempoh pemenjaraan.
Ismanira didapati bersalah mengabaikan Zayn Rayyan selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh yang berusia 30 tahun itu di akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa mengabaikan kanak-kanak tersebut dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartmen Idaman antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023. – UTUSAN










