KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir hari ini selesai mendengar keterangan 35 orang saksi kanak-kanak termasuk seorang saksi yang dipanggil oleh pasukan peguam yang mewakili ibu remaja terbabit, Noraidah Lamat.
Saksi-saksi ini mula memberikan keterangan bermula 22 September lalu secara tertutup yang mana hanya pihak-pihak terlibat sahaja dibenarkan berada di dalam dewan mahkamah.
Antara saksi yang dipanggil memberi keterangan ialah lima remaja yang dituduh mengeluarkan kata-kata mencela terhadap Zara Qairina yang mana perkataan tersebut didengari oleh mangsa yang mungkin menyebabkan pelajar itu terganggu dengan perkataan tersebut.
Selain itu, turut dipanggil memberi keterangan ialah seorang senior yang digelar Kak M yang sebelum ini tular di media sosial kerana mengeluarkan perkataan “kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni” kepada remaja terbabit.
Beberapa penghuni Asrama Rabiatul Adawiyah (asrama yang dihuni Zara Qairina), rakan satu dorm dan kawan baik remaja terbabit turut dipanggil memberi keterangan.
Sepanjang saksi-saksi kanak-kanak itu memberi keterangan, hanya pihak-pihak berkaitan sahaja yang dibenarkan berada di dalam dewan mahkamah dan media hanya melaporkan berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak-pihak berkepentingan.
Identiti kesemua saksi-saksi juga dilindungi selaras dengan peruntukkan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 yang melarang media daripada mendedahkan nama, alamat, institusi pendidikan atau apa-apa butiran mana-mana kanak-kanak; tidak kira saksi, mangsa atau tertuduh, yang mungkin membolehkan kanak-kanak tersebut dikenalpasti.
Sementara itu, bermula 17 November ini, prosiding inkues akan diteruskan secara terbuka yang mana sembilan orang guru termasuk pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar akan dipanggil memberi keterangan.
Difahamkan, ibu Zara Qairina akan turut dipanggil memberi keterangan selepas guru-guru sekolah itu memberikan keterangan mereka di Mahkamah Koroner Papar yang bersidang di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
Selain itu, pada 1 Disember ini juga, Koroner Amir Shah Amir Hassan akan mendengar permohonan komital terhadap Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan aktivis, Mona Din.
Pada 23 Oktober lalu, Mahkamah Koroner membenarkan permohonan ex parte (sebelah pihak) pihak pendakwaan untuk memula prosiding hina mahkamah terhadap Mohd. Shafie dan Mona atau nama sebenarnya Che Muna Din berkait dengan kenyataan yang dibuat mereka berhubung inkues tersebut.
Menurut notis dan afidavit permohonan yang difailkan secara berasingan pada 16 Oktober lalu, Mohd. Shafie didakwa telah mengeluarkan kenyataan yang menjurus kepada penghinaan mahkamah pada majlis Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan pada 20 September lalu yang kemudian dimuat naik ke Facebook miliknya.
Perkataan-perkataan yang diucapkan oleh Mohd. Shafie dalam majlis tersebut menjurus kepada suatu bentuk pengaruh yang tidak wajar kepada koroner yang sedang mengendalikan inkues tersebut dalam menentukan sebab kematian serta membuat dapatan dan keputusan di akhir prosiding berkenaan.
Mona pula didakwa telah menerbitkan kenyataan menghina mahkamah mempertikaikan keterangan saksi iaitu Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth, Dr. Jessie Hiu yang merupakan saksi pertama inkues yang diterbitkan di laman media sosial Facebook miliknya pada 4 September lalu.
Kenyataan yang dibuat oleh kedua-dua responden antara lain didakwa bertujuan mempengaruhi pendapat awam tentang integriti prosiding inkues yang sedang berlangsung dan mengandungi risiko nyata yang boleh menggugat keyakinan orang awam ke atas pentadbiran keadilan.
Kenyataan-kenyataan itu juga menjurus kepada gangguan dan merupakan campur tangan dalam pentadbiran keadilan yang mana ia merupakan penghinaan mahkamah yang serius.
Pendakwaan memohon agar Mohd. Shafie dan Mona dikomitkan ke penjara atau didenda kerana menghina mahkamah dan perintah-perintah lain yang difikirkan wajar dan berpatutan. – UTUSAN










