I-Guru gesa KPM ambil tindakan tegas guru terlibat akitiviti LGBT

I-Guru gesa KPM ambil tindakan tegas guru terlibat akitiviti LGBT

MOHD. AZIZEE HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ikatan Guru Muslim Malaysia (I-Guru) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana guru yang didakwa terlibat dalam kegiatan berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Gesaan itu susulan penahanan beberapa individu termasuk warga pendidik dalam satu operasi bersepadu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sebuah premis sauna di ibu negara pada 28 November lalu.

Presiden I-Guru, Mohd. Azizee Hasan berkata, siasatan menyeluruh perlu dilakukan segera bagi mengesahkan penglibatan guru dalam aktiviti yang mencemarkan imej profesion tersebut.

“Kegiatan songsang ini tidak wajar dinormalisasikan dalam kalangan warga guru kerana ia bertentangan dengan nilai ketimuran, prinsip agama dan moral masyarakat.

“Jika benar terbabit, KPM wajib mengambil tindakan tatatertib tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sikap dan tingkah laku penjawat awam khususnya guru perlu sentiasa dipelihara kerana mereka menjadi cerminan sistem pendidikan negara dan dihormati masyarakat.

“Integriti, kredibiliti serta maruah profesion keguruan mesti dipertahankan.

“I-Guru menyeru semua guru menjaga aku janji perkhidmatan dan mematuhi etika profesion agar institusi pendidikan kekal sejahtera,” katanya.

Mohd. Azizee turut menegaskan, I-Guru komited bekerjasama dengan KPM dalam usaha mengekang budaya negatif di sekolah dan memastikan profesion perguruan terus disanjung tinggi serta tidak dicemari oleh perbuatan yang bercanggah dengan nilai moral masyarakat.

Dalam operasi bersepadu kelmarin, seramai 17 penjawat awam, remaja dan warga emas antara 201 pengunjung ditahan dalam serbuan ke atas sebuah gimnasium dan sauna dua tingkat yang dijadikan sarang buat lelaki gay melampiaskan nafsu songsang di Chow Kit, Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN