NARATHIWAT (THAILAND): Angkara hutang, seorang rakyat Malaysia parah ditembak dalam satu kejadian di sebuah rumah di Sungai Golok di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu mengakibatkan Mohd. Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang berasal dari Kampung Kepas Asam, Pasir Mas, Kelantan menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.
Jurucakap polis Narathiwat ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati kes tersebut berpunca daripada masalah hutang hasil temubual dengan beberapa saksi yang berada berhampiran lokasi kejadian.
“Mangsa merupakan warganegara Malaysia yang berkeluarga dan tinggal di belakang sebuah masjid di kawasan perbandaran itu. Suspek seorang lelaki rakyat tempatan disyaki menyerang mangsa menggunakan pistol 9 milimeter (mm). Selepas menembak mangsa, suspek melarikan diri,” katanya.
Jurucakap itu memberitahu, identiti suspek telah dikenal pasti dan gerakan memburunya telah dilancarkan. – UTUSAN










