KUALA KANGSAR: Hujan renyai dan cuaca mendung tidak menghalang kemeriahan Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah 2025 dengan penyertaan lebih 9,500 peserta.
Peserta pelbagai peringkat usia hadir seawal pukul 5 pagi dengan ada dalam kalangan mereka mencuri perhatian apabila tampil dengan kostum anime, baju tradisional, pakaian sekolah serta watak Husin dari filem Hantu Kak Limah.
Suasana bertambah gamat apabila larian peserta diiringi sorakan para pengunjung yang memberi suntikan semangat untuk mereka memulakan larian.
Kemeriahan acara itu turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli ke acara berkenaan.
Berangkat sama, Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan anakanda Sultan Nazrin, Raja Nazira Safya.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.
Terdahulu, Sultan Nazrin turut berkenan menyempurnakan upacara pelepasan 5,000
peserta bagi kategori 15 kilometer dan 4,500 peserta untuk larian 10 kilometer dan tujuh kilometer.
Pelepasan peserta bagi kategori orang kenamaan yang menaiki kenderaan khas dan disertai baginda berdua, anakanda serta Raja Iskandar Dzulkarnain pula disempurnakan oleh adinda Sultan Nazrin, Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara kemudiannya berkenan meluangkan masa kira-kira 20 minit bersama rakyat di Laman Budaya menyaksikan demonstrasi dan pameran aset oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta reruai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Pasangan diraja itu juga disajikan persembahan pancaragam oleh pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), persembahan Kumpulan Jentari Sekolah Seni Malaysia Perak dan demonstrasi taktikal khas oleh Maritim Malaysia.
Pada acara berkenaan, Tuanku Zara turut berkenan menyempurnakan acara penyampaian hadiah kepada semua pemenang.
Pelbagai pameran dan persembahan diadakan sepanjang trek larian peserta membabitkan kawasan kampung sekitar Mukim Sayong, Kota Lama Kanan dan Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah.
Antaranya, permainan tradisional gasing dan sepak raga, demonstrasi labu sayong, persembahan rebana, gendang Cina dan India serta stesen kuih-muih. – UTUSAN










