Hentikan projek tambak, bangunkan zon kitar semula di Persiaran Karpal Singh

Hentikan projek tambak, bangunkan zon kitar semula di Persiaran Karpal Singh

SEKUMPULAN penduduk dari Bandar Sri Pinang dan kawasan kejiranan sekitar Persiaran Karpal Singh berhimpun di hadapan bangunan DUN Pulau Pinang bagi menyatakan bantahan secara aman terhadap cadangan penambakan dan kitar semula sisa di tapak pelupusan berhampiran kawasan persiaran berkenaan, hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sekumpulan penduduk berhimpun secara aman di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini bagi mendesak kerajaan negeri menolak cadangan projek penambakan dan pembangunan zon kitar semula sisa di tapak pelupusan berhampiran kawasan Persiaran Karpal Singh, di sini.

Selain itu, kumpulan penduduk dari Bandar Sri Pinang dan kawasan kejiranan sekitar persiaran itu bersama Jawatankuasa Bertindak Protect Karpal Singh Drive (ProtectKarpal) turut menyerahkan memorandum bantahan projek berkenaan kepada wakil Ketua Menteri dan Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff.

Jurucakap ProtectKarpal, Dr. K. Ganesh berkata, rata-rata penduduk setempat bimbang projek tersebut bakal menjejaskan kesihatan awam, ekosistem ‘Middle Bank’ atau Kawasan Perlindungan Marin Tebing Tengah dan identiti Persiaran Karpal Singh sebagai ruang rekreasi untuk rakyat.

“Penduduk tidak menolak keperluan untuk memulihkan tapak pelupusan di Jelutong itu, namun, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk membuka laluan kepada penambakan baharu atau pembinaan zon kitar semula sisa berskala industri di situ.

“Jadi, kami berada di sini kerana projek ini akan memusnahkan pantai dan komuniti kami sepanjang 20 hingga 30 tahun akan datang. Anak-anak kami sepatutnya menikmati angin laut dan bukannya berdepan risiko habuk, bunyi bising atau pelepasan gas berbahaya,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mac lalu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dilaporkan sebagai berkata, projek penambakan tanah yang dicadangkan dari Tapak Pelupusan Jelutong sehingga ke kawasan Persiaran Karpal Singh itu bagaimanapun tidak akan melibatkan kawasan ‘Middle Bank’.

Kon Yeow turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memastikan bahawa kawasan marin berkenaan tidak akan terjejas dalam cadangan projek penambakan tanah yang masih menunggu kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu.

Dalam pada itu, Ganesh memaklumkan, penduduk bimbang projek yang menggabungkan kerja penambakan dan pengorekan sisa terbuka itu akan menjejaskan golongan kanak-kanak dan warga emas selain berpotensi mengganggu keseimbangan ekologi ‘Middle Bank’ yang diiktiraf sebagai habitat penting rumpai laut.

“Penduduk juga khuatir akan berlaku peningkatan trafik berat, kesesakan jangka panjang serta gangguan bunyi akibat aktiviti pembinaan yang seterusnya akan mengubah landskap sosial kawasan itu yang sinonim dengan kehidupan komuniti dan perniagaan kecil.

“Dalam hal ini, Persiaran Karpal Singh bukan hanya satu lokasi di peta. Ia simbol ruang awam yang penting untuk keluarga dan komuniti. Jadi, kami mahu kawasan ini terus selamat dan sesuai untuk generasi akan datang,” katanya yang menggesa kerajaan negeri dan wakil pembangkang untuk bersama dengan rakyat dalam memperjuangkan isu ini.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN