BUTTERWORTH : “Hentikan kegiatan lumba haram ini sebelum ia menghentikan nyawa anda.”
Itu pesanan ringkas tapi penuh bermakna daripada Timbalan Pengarah Penguatkuasaan, Kawalan Lalu Lintas dan Pengurusan Saman, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Rozi Jidin.
Terdahulu, beliau turut-serta dalam satu operasi membanteras kegiatan lumba haram yang dijalankan secara bersama oleh JSPT Bukit Aman dan JSPT Pulau Pinang berhampiran persimpangan lampu isyarat Permatang Pauh menghala ke Ampang Jajar, di sini.
Mohd Rozi berkata, dalam operasi yang bermula kira-kira pukul 11 malam itu hingga awal pagi tadi, sekurang-kurangnya 250 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan manakala sebanyak 350 penunggang motosikal bersama kenderaan mereka turut ‘diangkut’ ke balai untuk pemeriksaan lanjut.
“Kita lihat tadi (ketika operasi), ada seorang individu itu dapat sampai lima hingga tujuh saman. Yang menyedihkan, ada juga remaja berumur 15 tahun terlibat dengan aktiviti ini dan tidak mempunyai lesen serta spesifikasi kenderaannya juga tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan.
“Dalam hal ini, kita akan sentiasa pastikan bahawa masyarakat mematuhi segala peraturan dan penguatkuasaan yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Mohd Rozi, kebanyakan peserta yang terlibat dengan aktiviti lumba haram itu juga ada yang pernah ditangkap sebanyak beberapa kali tetapi masih datang dan melakukan aktiviti yang sama tanpa serik.
“Ketika ditahan, mereka ini tidak menunjukkan sebarang reaksi, malah, dilihat seolah-olah mencabar penguat kuasa undang-undang serta tidak sayangkan nyawa juga.
“Jadi, kita perlu beri kesedaran kepada masyarakat agar memastikan bahawa aktiviti ini dapat dihentikan. Jangan mencabar undang-undang dan jangan melihat nyawa ini sebagai tidak bernilai,” katanya.










