PETALING JAYA: Terdapat usaha menakut-nakutkan rakyat Sabah dengan memainkan sentimen parti tempatan menentang parti Semenanjung menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Sabah, Tan Sri Annuar Musa berkata, rakyat Sabah hakikatnya sedar sentimen tersebut cuba digerakkan oleh kelompok yang pernah gagal menunaikan amanah ketika diberikan mandat memimpin negeri itu sebelum ini.
Katanya, pihak berkenaan bukan sahaja gagal membuktikan rekod tadbir urus yang baik malah sebelum ini turut menjadi sebahagian daripada gabungan parti di Semenanjung.
“Rakyat Malaysia sudah lama meminggirkan kedaerahan sempit. Mereka mahu wakil rakyat yang baik dan kerajaan yang baik. Mereka menolak ahli politik yang berjanji tetapi tidak menepati kata.
“Mereka benci rasuah dan salah guna kuasa. Mereka tidak mahu watak yang mempunyai rekod buruk kembali memimpin,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat berkata, sentimen memecah-belahkan rakyat Sabah dengan naratif ‘parti tempatan vs parti Semenanjung’ bukan lagi agenda yang mendapat sambutan rakyat sebaliknya rakyat kini lebih mementingkan integriti, kemampuan dan prestasi kepimpinan.
“PN telah diterima baik sejak mula menyertai politik Sabah pada PRN sebelum ini. PN mengekalkan prinsip berkhidmat dengan baik, berintegriti dan berwibawa,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, PN berkemungkinan bertanding di sehingga 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada PRN akan datang melepasi sasaran awal sebanyak 36 kerusi sebelum ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumlah kerusi yang bakal ditandingi gabungan itu mungkin bertambah selepas mengambil kira potensi beberapa kawasan tambahan.
Katanya, pengumuman rasmi calon PN Sabah akan dibuat dalam tempoh terdekat selepas proses pemuktamadan senarai nama selesai. – UTUSAN







