Hasil Selangor RM2.4 bilion sehingga November lepasi sasaran 2025

Hasil Selangor RM2.4 bilion sehingga November lepasi sasaran 2025

Rumah ibadah tak sah
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Selangor meraih perolehan hasil tahunan lebih RM2.4 bilion melepasi sasaran RM2.35 bilion atau 103 peratus sehingga November.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia menunjukkan tren positif lima tahun berturut-turut hasil pentadbiran berkesan serta pengurusan ekonomi negeri yang mampan.

“Alhamdulillah, berkat kerjasama semua pihak termasuk sumbangan daripada masyarakat di Bernam, hasil negeri setakat bulan November telah melepasi RM2.4 bilion, melebihi sasaran yang ditetapkan.

“Itu membuktikan daya tahan ekonomi negeri dan keupayaan kita mengekalkan momentum pembangunan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Ban Canal 2025, hari ini.

Menurutnya, hasil utama negeri kekal disumbangkan oleh sektor tanah melalui bayaran premium dan cukai tanah, selain peningkatan dalam aktiviti ubah guna tanah daripada pertanian kepada industri serta komersial yang memberi nilai tambah kepada pendapatan negeri.

Amirudin berkata, pelaburan besar dalam sektor perindustrian turut menjadi pemangkin kepada peningkatan hasil berkenaan, termasuk pelaburan syarikat automotif Chery Malaysia bernilai RM2 bilion serta beberapa pelaburan susulan dari China yang sedang dalam proses dimuktamadkan.

“Walaupun sumbangan sektor pembuatan lebih tertumpu kepada ekonomi keseluruhan, kesannya kepada hasil negeri tetap signifikan apabila berlaku pembelian atau perubahan guna tanah bagi tujuan industri.

”Ia menaikkan nilai premium tanah dan memberi pulangan langsung kepada kerajaan negeri,” jelasnya.

Tambahnya, hasil berlebihan itu akan digunakan semula untuk menambah peruntukan pembangunan luar bandar, termasuk projek kemudahan asas dan projek pemangkin (catalyst project) bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Dengan hasil tambahan ini, kerajaan negeri akan memastikan manfaatnya dinikmati bersama rakyat Selangor, bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan komuniti,” ujarnya.

Untuk rekod, tahun lalu, Selangor dilapor meraih perolehan hasil negeri melepasi sasaran 118 peratus iaitu RM2.59 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN