Hanya 5 peratus PPS dibuka di Selangor

Hanya 5 peratus PPS dibuka di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Setakat ini, hanya lima peratus kemudahan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di sekitar Selangor berbanding 1,000 buah pusat yang tersedia.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, kerajaan negeri mempunyai kemudahan PPS mencukupi bagi menampung sebarang kemungkinan.

Beliau berkata, pihaknya masih mempunyai mempunyai kapasiti yang sangat besar bagi menampung penambahan mangsa banjir sekiranya keadaan bertambah buruk.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehingga tengah hari ini, sembilan PPS dibuka dengan SK Kampung Baharu Lanjut merekodkan mangsa tertinggi iaitu 297 orang, diikuti PPS SK Salak yang menempatkan 182 mangsa.

“Kita sebenarnya hanya menggunakan sekitar lima peratus PPS. Kerajaan Selangor menyediakan lebih 1,000 PPS sekiranya perlu dibuka dan ini menunjukkan tahap kesiapsiagaan yang amat tinggi,” katanya ketika melawat mangsa di PPS SK Salak, hari ini.

Katanya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sendiri telah mengarahkan barisan exco supaya turun padang bagi memastikan semua mangsa berada dalam keadaan baik dan semua keperluan berjalan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Jamaliah berkata, beliau sendiri telah menyantuni mangsa banjir termasuk wanita mengandung dan warga emas yang ditempatkan di PPS.

“Mereka ada menyuarakan kebimbangan masing-masing dan saya jelaskan bahawa kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan untuk tahun ini dan tahun hadapan khusus bagi menangani bencana banjir.

“Fokus utama kerajaan adalah projek-projek tebatan banjir. Selain itu, tenaga kerja, jentera dan aset logistik juga mencukupi,” katanya.

Katanya, Selangor mempunyai lebih 300 aset operasi termasuk jentera logistik serta 200 bot yang siap digunakan pada bila-bila masa jika keadaan bertambah serius.

Jelasnya lagi, PPS hanya akan ditutup apabila mangsa benar-benar selamat kembali ke kediaman masing-masing.

“Saya juga akan meminta Ahli Parlimen kawasan terlibat menyampaikan maklumat ini kepada penduduk supaya mereka yakin bahawa segala keperluan telah disusun dengan baik,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini