PUTRAJAYA: Kerajaan mengaktifkan sepenuhnya Pusat Kawalan Operasi Negeri bagi memastikan kesiapsagaan menyeluruh ekoran banjir yang melanda 11 buah negeri ketika ini dan melibatkan 27,489 mangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana di peringkat negeri dan daerah turut dibuka bagi memastikan koordinasi operasi respon, pemindahan dan penyampaian maklumat dapat dilakukan tanpa kelewatan.
Katanya, langkah ini akan memastikan setiap perkembangan dan keperluan di lapangan dapat ditangani dalam masa sebenar oleh agensi-agensi pengurusan bencana.
Dalam masa sama, jelas beliau, Angkatan Pertahanan Awam (APM) juga telah mengerahkan lebih 2,000 anggota untuk melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan berisiko tinggi melibatkan banjir, ribut serta ombak kuat di pesisir pantai.
“Aset-aset penting seperti bot penyelamat, ambulans, kenderaan 4×4, generator, pam air mudah alih dan dron pemantauan turut digerakkan bagi memastikan operasi menyelamat, pemindahan dan bantuan kecemasan dapat dilaksanakan dengan segera apabila diperlukan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat turut menyeru rakyat di kawasan terjejas dan kawasan berisiko agar sentiasa mengikuti perkembangan amaran rasmi daripada pihak berkuasa serta mematuhi arahan pemindahan sekiranya diarahkan.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan untuk mengelakkan aktiviti laut dan kawasan pesisir susulan keadaan angin kencang serta ombak tinggi, di samping memastikan beg kecemasan sentiasa tersedia dan dokumen penting disimpan di tempat selamat.
Sementara itu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, JKM sedia mengaktifkan PPS tambahan pada bila-bila masa sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk.
“Bekalan makanan, selimut dan keperluan asas mencukupi dan diagihkan mengikut keperluan mangsa di lapangan.
“KPWKM menyeru semua penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke PPS jika diarahkan,” katanya.
“Kita kini berdepan fasa cuaca yang mencabar, dan keselamatan rakyat adalah keutamaan.
“KPWKM melalui JKM akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa serta memastikan setiap keluarga terkesan menerima bantuan secepat mungkin dan dengan penuh empati,” katanya. – UTUSAN











