KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah untuk penggal kedua di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.
Istiadat mengangkat sumpah berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi menyaksikan Hajiji menandatangani dokumen berkaitan.
Terdahulu, Hajiji yang juga ADUN Sulaman dilihat keluar dari Kediaman Rasmi Ketua Menteri dengan memakai baju Melayu hitam pada pukul 1.27 pagi untuk menuju ke Istana Negeri.
Majlis angkat sumpah berkenaan diadakan selepas GRS meraih kemenangan dalam persaingan sengit Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung semalam.
Keputusan PRN Sabah menyaksikan GRS meraih kemenangan 29 kerusi daripada 73 DUN yang dipertandingkan.
Parti Warisan (Warisan) meraih 25 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) enam, Bebas (lima), UPKO (tiga), Star (dua), Pakatan Harapan (satu) Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (satu) dan Perikatan Nasional (satu).
Infografik kedudukan DUN Sabah
GRS : 29
Warisan : 25
BN: Enam
Bebas: Lima
UPKO: Tiga
Star: Dua
Pakatan Harapan : Satu
KDM: Satu
PN: Satu
Keseluruhan : 73










