Pengalaman antarabangsa yang diperoleh guru secara langsung bukan sahaja meningkatkan kompetensi tenaga pengajar, malah memberi impak positif kepada pelajar dalam meningkatkan prestasi akademik serta membina kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis.

Menyedari kerjasama rentas sempadan, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Arshad, Segamat, Johor, melakar sejarah dengan merealisasikan program pengantarabangsaan penanda aras ke Sekolah Menengah Aliyah Negeri Satu Bandar Aceh dan Fatih Bilingual School, Aceh, Indonesia.
Program tersebut membuka peluang guru berkongsi amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran, selain mempelajari pendekatan inovatif dan penggunaan teknologi digital dalam Pembelajaran Dan PemudahCaraan (PdPc) yang boleh diaplikasikan untuk meningkatkan prestasi pelajar di Malaysia.
Program ini dihadiri 34 orang, termasuk pengetua, guru penolong kanan, barisan guru, dan pembantu pengurusan murid.
Pengetua SMK Dato’ Ahmad Arshad, Abdullah Zawawi Mohd Hairani berkata, antara objektif utama program berkenaan adalah bagi memberi pendedahan kepada guru.

Malaysia terhadap sistem pendidikan luar negara serta membina kerjasama strategik jangka panjang.
“Dengan pengalaman antarabangsa ini, guru dapat memindahkan pengetahuan dan kemahiran baharu ke bilik darjah, membantu pelajar menguasai subjek dengan lebih mudah serta meningkatkan kreativiti dan keyakinan diri,” katanya.
Tambahnya, memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara SMK Dato’ Ahmad Arshad dan kedua-dua sekolah di Aceh membolehkan perkongsian amalan pendidikan terbaik diteruskan secara berterusan.

“Kedua-dua pihak bersetuju mengadakan jaringan jangka panjang untuk meningkatkan prestasi pelajar dan mengeratkan hubungan pendidikan melalui program bertaraf antarabangsa,” katanya.
Sebelum ini, sekolah juga pernah menganjurkan IC2Fest, festival kebudayaan dan inovasi peringkat antarabangsa yang melibatkan negara seperti Kanada, Jepun, Indonesia dan Thailand.
Dalam pada itu, satu sesi perkongsian amalan terbaik telah dilaksanakan bagi memberi peluang kepada guru mempelajari cara membimbing pelajar dalam kepimpinan dan aktiviti kokurikulum.
Azizah Abdullah, seorang guru yang membentangkan sesi perkongsian itu berkata, pengalaman antarabangsa yang diperoleh oleh guru membantu mereka menjana idea program yang lebih kreatif, terarah, dan berdaya saing. “Pendekatan ini membantu meningkatkan Majlis Pemimpin Murid (MPM) sebagai platform utama dalam melahirkan pelajar yang berdaya saing di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Kesannya, kita dapat melahirkan pelajar berjaya di peringkat global,” katanya. –UTUSAN










