KOTA BELUD: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah takut berunding dengan Persekutuan untuk membincangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963).
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, walaupun ramai mengatakan beliau dan kerajaannya sering menerima telunjuk Pusat, sebaliknya beliau amat tegas berhubung hak dan kepentingan Sabah.
Katanya, beliau mengambil pendekatan perundingan berbanding berkonfrontasi kerana mahu merintis kerjasama erat antara Pusat dan negeri.
“Kalau mahu maju, kita kena kerjasama dengan Pusat yang mentadbir negara, kita pula mentadbir negeri. Kalau tak, bagaimana mahu maju, habis pilihan raya kena menghadap (kerajaan Pusat) mohon macam-macam.
“Saya tidak pernah takut berunding dengan kerajaan Persekutuan. Dalam Mesyuarat Ma1963, saya paling banyak bercakap. Sampai ada orang cakap Hajiji nampak sentimental, tapi tegas.
“Namun saya tidak pernah bercakap di luar demi meraih sokongan politik, tapi kerja kena berjalan,” katanya dalam Kempen ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ GRS Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan dan Tempasuk di sini hari ini.
Dalam sidang akhbar, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, beliau yakin rundingan pemberian khas 40 peratus kepada Sabah akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Katanya, pegawai kerajaan Pusat dan negeri tengah berbincang mengenai dalam mencari mekanisme terbaik dalam pemberian tersebut.
“Kita ada ada masa, mahkamah bagi masa 90 hari. Mereka sedang berbincang untuk capai persetujuan, yang mungkin berlangsung berkali-kali,” katanya.
Semalam, mesyuarat pertama rundingan mengenai pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil Sabah telah berlangsung di Kota Kinabalu.
Mesyuarat itu telah dihadiri Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong bagi menyelesaikan perkara teknikal yang tertunggak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, rundingan akan dimulakan di peringkat pegawai yang diketuai Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi pihak Kerajaan Persekutuan.
Pada Selasa lalu, kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana diputuskan dalam Permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.-UTUSAN










