SEREMBAN: Dijemput menjadi imam solat terawih di Korea Selatan menjadi pengalaman berharga buat seorang graduan Sarjana Muda Dakwah Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Muhammad Nizamuddin Mohd Zulkifli, 24, berkata, dia dijemput menjadi imam solat tarawih di Masjid Cheongju Islamic Centre, Korea Selatan sepanjang bulan Ramadan lalu.
Katanya, ia merupakan pengalaman kedua kerana pernah dijemput buat kali pertama di masjid yang sama pada dua tahun lalu.
“Pada awalnya, saya agak takut dan tiada keyakinan untuk berada di negara orang seorang diri. Namun, sokongan keluarga, rakan dan pensyarah membantu saya menunaikan tanggungjawab itu dengan baik.
“Alhamdulillah tahun ini saya dijemput lagi tetapi kali ini agak berbeza kerana saya ke sana (Korea Selatan) adalah untuk menjalani latihan industri di sana dengan kerjasama sebuah institusi pendidikan pendidikan yang aktif dalam program dakwah,” katanya ditemui pada sidang terakhir Majlis Konvokesyen Ke-23 USIM di Nilai di sini semalam.
Muhammad Nizamuddin berkata, pengalaman tersebut bukan sahaja membuka ruang buat dirinya untuk berbakti dalam komuniti antarabangsa malah memberi peluang bagi mendalami ilmu falak dan amalan ibadah secara praktikal.
Selain menjadi imam solat tarawih, dia turut membantu mengurus pencerapan anak bulan, mengajar talaqqi Al-Quran, menjadi saksi nikah, muazzin, serta pembantu kepada Syeikh Ayman Turk, iaitu pengasas masjid tersebut.
Anak bongsu daripada empat beradik ini berkata, pelbagai persiapan dilakukan sebelum ke negara itu termasuk mempelajari bahasa asing, termasuk bahasa Korea, Uzbek, Arab dan Inggeris bagi memudahkannya komunikasi dengan komuniti pelbagai bangsa di masjid berkenaan.
“Saya turut menekankan persiapan hafazan Al-Quran 30 juzuk dan mengulang kaji ilmu fiqh dan isu semasa berkaitan amalan harian.
“Selain itu, cuaca sejuk dan perbezaan budaya turut menjadi cabaran yang perlu dihadapi,” katanya yang kini bertugas sebagai pensyarah di sebuah institut pengajian tinggi swasta. – UTUSAN










