Graduan UniSZA jadi pilihan industri kejururawatan

Graduan UniSZA jadi pilihan industri kejururawatan

NUR Ain Zainal Abidin (tengah), Nabila Husni Abdul Razak (kiri) dan Siti Nur Adriana Mohammad Rizam memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-17 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, Kuala Terengganuu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mendapat tempat dalam industri kesihatan apabila menjadi pilihan utama majikan termasuk hospital swasta terkemuka seperti Avisena Healthcare.

Fakulti Perubatan UniSZA mencatat sejarah tersendiri apabila kumpulan pertama program ijazah kejururawatan bergraduat pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen kali ini, menandakan kejayaan universiti itu memperluas penawaran akademik dalam bidang kejururawatan selepas lebih 30 tahun menjalankan program di peringkat diploma.

Dekan Fakulti Perubatan UniSZA, Prof. Dr. Harmy Mohamed Yusoff berkata, graduan kejururawatan universiti berkenaan kini semakin diyakini kerana dilatih dengan kemahiran klinikal dan nilai profesional yang menepati kehendak industri.

“Graduan UniSZA bukan sahaja diterima dalam sektor kerajaan malah sering menjadi rebutan hospital swasta termasuk Avisena. Malah, kebanyakan pelajar sudah menerima tawaran kerja sebelum menamatkan pengajian,” katanya ketika ditemui. 

Beliau berkata, kerjasama strategik dengan pemain industri kesihatan seperti Avisena turut memberi peluang kepada pelajar menjalani latihan klinikal berkualiti dan seterusnya diserap terus ke pasaran kerja selepas bergraduat.

Tiga graduan program berkenaan, Nabila Husni Abdul Razak, Siti Nur Adriana Mohammad Rizam dan Nur Ain Zainal Abidin masing-masing berusia 24 tahun, merupakan antara pelajar yang ditaja sepenuhnya oleh Avisena Healthcare dan kini bersedia memulakan tugas di bawah kumpulan itu pada 10 November ini.

Menurut Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Avisena, Ahmad Tazilan Mokhtar, pemilihan mereka dibuat berdasarkan pencapaian akademik cemerlang serta mengambil kira tahap pendapatan keluarga sebagai salah satu kriteria utama tajaan.

“Mereka ini terus diambil bekerja di bawah Avisena dan akan mula bertugas pada 10 November ini. Kami percaya mereka berpotensi besar untuk berkembang sebagai jururawat profesional di bawah kumpulan kami,” katanya.

Salah seorang penerima tajaan, Nabila Husni Abdul Razak mengakui berasa sangat bertuah kerana bukan sahaja ditanggung sepenuhnya sepanjang pengajian, malah diberi peluang menjejak kaki ke alam pekerjaan sebaik sahaja bergraduat.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada UniSZA serta Avisena atas kepercayaan ini. Semua penat lelah belajar akhirnya berbaloi apabila terus ditawarkan kerja selepas tamat pengajian,” katanya.

Ujarnya lagi, pengalaman empat tahun di UniSZA banyak mengajarnya tentang tanggungjawab, disiplin dan empati dalam bidang kejururawatan, sekali gus menjadi bekalan berharga untuk melangkah ke dunia pekerjaan sebenar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN