KUALA TERENGGANU: Kekuatan anggota dan aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mencukupi untuk menghadapi banjir jika bencana itu berlaku serentak di seluruh negara.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Nordin Pauzi berkata, aset-aset ditempatkan di lokasi strategik di semua balai selain menjalankan pemeriksaan terperinci meliputi jumlah, fungsi dan kesiapsiagaan setiap aset.
Katanya, walaupun sebahagian besar negeri kini memasuki fasa awal Monsun Timur Laut, mobilisasi aset masih terkawal kerana banyak operasi di lapangan dapat diselesaikan oleh balai setempat.
“Gelombang banjir di Terengganu masih berada dalam fasa pertama monsun dan episod kedua dijangka berlaku sekitar minggu kedua Disember. Ramai anggap gelombang pertama sudah berakhir tetapi sebenarnya belum. Berdasarkan maklumat meteorologi dan hidrologi, taburan hujan dan luruan angin masih lagi berlaku.
“Kita sudah mengarahkan semua balai memastikan aset masing-masing dalam keadaan siap digerakkan. Jika banjir berlaku serentak di banyak negeri sekalipun kita masih mempunyai kapasiti,” katanya selepas meninjau Bilik Gerakan Bencana di Ibu Pejabat JBPM Kuala Terengganu, di sini, hari ini.
Nordin berkata, antara langkah penting bagi memperkukuh kekuatan anggota adalah dengan menukar syif 12 jam kepada syif 24 jam sekiranya keadaan memerlukan.
“Apabila syif ditukar kepada 24 jam, kekuatan anggota dapat digandakan. Setakat ini ia belum diaktifkan kerana situasi masih terkawal, tetapi boleh dilaksanakan pada bila-bila masa,” katanya.
Menurutnya, Pasukan Gerak Cepat (PGC) turut berada dalam keadaan siap siaga dan sudah digerakkan ke Kelantan baru-baru ini sebagai bantuan tambahan.
Sementara itu, beliau berkata, pengurusan aset bencana bukan terletak pada satu agensi semata-mata kerana semua operasi akan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Kita tidak bergerak sendirian. Keperluan lori, bot, helikopter atau apa juga aset penyelamatan akan diselaraskan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB). Semua agensi bergabung tenaga,” katanya. – UTUSAN










