KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi menjelaskan setakat ini belum ada garis panduan tertentu mengenai etika pemakaian artis beragama Islam di Malaysia.
Disebabkan itu katanya, tiada tindakan tertentu yang boleh diambil oleh pihaknya terhadap mana-mana artis bergama Islam yang berpakaian mencolok mata.
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia memang telah menetapkan garis panduan berpakaian tetap untuk drama dan perfileman. Setakat ini, setahu saya garis panduan berpakaian secara umum untuk artis belum ada.
“Dan sekiranya ada, pihak Seniman sedia bekerjasama untuk mengwar-warkan mengenainya. Cuma kami harap pihak berwajib terlebih dahulu dapat memberikan penerangan terperinci atau berkongsi informasi tentangnya.
“Tapi sekiranya belum ada garis panduan berkenaan, maka pihak persatuan tidak dapat ambil tindakan. Kami hanya boleh berikan teguran secara umum sahaja,” katanya.
Zed berkata demikian ketika program ziarah dan penyerahan sumbangan kepada pelakon Sahronizam Noor di kediamannya di Ampang, semalam.
Beliau mengulas tentang isu pakaian mencolok mata membabitkan kumpulan Dolla dalam video muzik lagu terbaharu mereka, Question.
Zed dalam pada itu menyokong agar cadangan garis panduan berpakaian artis diwujudkan bagi mengelakkan isu berpakaian mencolok mata yang menyentuh sensitiviti masyarakat, berulang.
“Garis panduan memang kena ada supaya ada rujukan bagi pihak persatuan dalam mengendalikan sesuatu isu.
“Tapi itulah, penggubal atau pihak yang mewujudkan garis panduan itu perlu babitkan persatuan agar kami dapat bantu mengwar-warkannya,” katanya lagi. – UTUSAN










