KUALA LUMPUR: Isu gaji merupakan antara punca jurutera dan tenaga mahir bidang semikonduktor berhijrah ke negara luar.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, walaupun Malaysia berjaya melatih ramai siswazah dalam bidang semikonduktor, sebahagian besar berhijrah ke Singapura, Taiwan dan Eropah bagi mengejar peluang pekerjaan dan pendapatan lebih tinggi.
“Saya akui bahawa ada keadaan di mana talent leakage ini berlaku. Saya dimaklumkan daripada 10 graduan yang dilatih mungkin hanya tiga yang kekal di negara selepas tiga atau empat tahun.
“Isu sebenarnya adalah gaji. Jadi kita sebagai satu negara dan juga masyarakat bersama dengan komuniti ekonomi mesti bersedia memberikan gaji yang lebih berpatutan kepada mereka,” katanya menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (Pas-Jerantut) berkaitan jumlah jurutera yang telah dilatih namun berhijrah ke luar negara di Dewan Rakyat semalam.
Dalam pada itu katanya, seramai 13,679 jurutera dan tenaga mahir teknikal berjaya dilatih serta diserap ke dalam industri semikonduktor sejak pelancaran Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) pada Mei 2024.
Chin Tong berkata, pencapaian itu menandakan Malaysia berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran 60,000 bakat berkemahiran tinggi menjelang 2030. – UTUSAN










