KUALA LUMPUR: Perbadanan Filem Kemajuan Nasional (Finas) sedia membantu anak – anak pelakon veteran Allahyarham Dharma Harun Al- Rashid iaitu Muhammad Al Syafiq serta Siti Qurratu Aini melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Perkara itu dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib yang mengakui pernah dimaklumkan arwah mengenai hasrat untuk melihat kedua anaknya cemerlang dalam pelajaran masing-masing.
“Saya difahamkan anak-anak arwah ini merupakan pelajar cemerlang di Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA).
“Dan saya juga diberitahu yang mereka menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Itu juga merupakan sebahagian daripada hasrat arwah yang pernah beliau ceritakan kepada saya sebelum ini.
“Jadi, saya akan cuba berbincang dengan Kementerian Pendidikan Tinggi serta ASWARA untuk membantu merealisasikan impian arwah yang mahu anak-anaknya terus menyambung pengajian mereka,” ujarnya yang ditemui di Masjid Abu Ubaidah Sri Rampai di sini.
Aktor bertaraf legenda itu meninggal dunia sekitar pukul 9.10 malam di kediamannya, semalam.
Berita duka itu dikongsikan Al Syafiq menerusi satu hantaran di Instagramnya.
Dalam pada itu Azmir menyifatkan Allahyarham Dharma sebagai bintang legenda yang terlalu banyak berjasa kepada dunia perfileman tempatan.
“Arwah pernah berkongsi pengalamannya melangkah ke dunia seni yang berlaku secara kebetulan. Beliau adalah seorang pelakon contoh yang bermula kosong kemudian berkembang menjadi seorang hero perfileman negara.
“Cuma sedikit mengecewakan kerana pihak Finas tidak berkesempatan mendokumentasikan pengalaman lebih empat dekad arwah dalam bidang lakonan.
“Apa pun, jasa dan pengorbanan arwah kepada dunia perfileman tetap dikenang selamanya.
“Finas mengucapkan takziah kepada keluarga arwah dan mendoakan agar rohnya ditempatkan bersama golongan beriman,” kongsinya- UTUSAN










