Farel Prayoga akui ada ‘trust issue’, anggap kemelut keluarga selesai - Utusan Malaysia

Farel Prayoga akui ada ‘trust issue’, anggap kemelut keluarga selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi remaja Indonesia, Farel Prayoga, 15, mengakui kemelut keluarga yang tercetus sebelum ini sedikit sebanyak mengganggu fokusnya terhadap kerjaya seni.

Menurut Farel, pengalaman tidak menyenangkan melibatkan ibu tirinya itu meninggalkan kesan mendalam sehingga membuatkannya sukar mempercayai orang lain.

“Saya anggap semuanya sudah selesai. Buat masa ini, saya hanya berhubung dengan ayah dan adik sahaja. Lagipun, saya kini sudah bersekolah di Jakarta.

“Tidak dinafikan, apa yang berlaku sebelum ini membuatkan saya memiliki ‘trust issue’, sekali gus memberi kesan terhadap mental, apatah lagi dengan kedudukan saya yang perlu terus bekerja dan membuat persembahan,” katanya.

Farel ditemui Utusan Malaysia pada majlis pelancaran single terbaharunya, Lemak Manis, di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, Farel mengejutkan banyak pihak apabila mendedahkan dirinya pernah didera oleh ibu tiri, selain mendakwa dipaksa ahli keluarga lain untuk bekerja sebagai penyanyi jalanan demi menampung kehidupan.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Ojo Dibandingke itu menjelaskan bahawa dia sebenarnya sudah mula menyanyi di jalanan sejak berusia lapan tahun demi membantu keluarganya yang berdepan kesempitan hidup.

“Dulu hidup kami susah kerana masalah ekonomi. Saya mula busking pada usia lapan tahun sebab tidak mahu menyusahkan ibu bapa untuk beli makanan atau mainan.

“Tapi saya perlu jelaskan, saya bukan dipaksa keluarga. Keadaan ketika itu yang memerlukan saya busking lebih lama. Jika saya tidak keluar menyanyi, keluarga saya tidak makan.

“Boleh dikatakan kebanyakan duit saya dihabiskan untuk keluarga kerana ketika itu saya tinggal bersama ibu bapa,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Farel mengakui dirinya pernah berasa letih kerana terpaksa bekerja pada usia muda.

“Saya pernah beritahu ibu dan ayah yang saya penat, tetapi sebagai orang tua, saya percaya mereka mahu yang terbaik untuk saya,” katanya.

Berhubung kecaman dan komen negatif di media sosial, Farel berkata dia memilih untuk tidak ambil peduli terhadap kata-kata yang boleh menjatuhkan semangatnya.

“Biasalah, pasti ada yang bercakap buruk. Netizen memang suka komen macam-macam. Saya sendiri tidak suka baca komen.

“Saya lebih memilih untuk bermain permainan video atau melepak dengan kawan-kawan.

“Sekarang saya sudah terbiasa dan hanya jalani sahaja hidup ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Farel kini tampil menyanyikan semula lagu Lemak Manis nyanyian asal penyanyi Malaysia, Roslan Madun.

Rakaman semula lagu Lemak Manis versi Farel telah dirakamkan di Jakarta dengan iringan orkestra. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN