Enam lagi mayat PATI ditemukan di perairan Thailand

Enam lagi mayat PATI ditemukan di perairan Thailand

ROMLI Mustafa menunjukkan lokasi migran yang ditemukan hanyut selepas bot dinaiki mereka karam ketika menuju ke Malaysia di Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut, Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Enam lagi mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar yang menjadi mangsa bot karam berhampiran Pulau Tarutao ditemukan di perairan Thailand oleh pihak berkuasa negara jiran itu.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, maklumat lengkap termasuk jantina mangsa yang ditemui belum diperoleh namun dimaklumkan kesemua mayat dewasa.

Katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dalam melakukan operasi pencarian mangsa di laut.

“Saya difahamkan akan ada pesawat dari Thailand membuat pemantauan udara sama seperti kita. Selain itu, kita juga mungkin akan bantu pencarian di perairan Thailand dengan kebenaran mereka dan kita percaya lebih ramai mangsa akan ditemui hari ini dan esok,” katanya pada sidang akhbar di Jeti Maritim Malaysia di sini, hari ini.

Penemuan itu menjadikan keseluruhan 13 mayat termasuk seorang kanak-kanak perempuan ditemukan lemas di perairan negara ini dan Thailand sejak kelmarin.

Sementara 11 lelaki dan wanita etnik Rohingya serta dua lelaki Bangladesh diselamatkan pelbagai pihak sehingga petang semalam.

Romli berkata, keluasan pencarian ditambah kepada 255.6 batu nautika persegi setelah mengambil kira pergerakan arus laut yang mungkin akan membawa mangsa atau mayat hanyut lebih jauh.

“Daripada pengiraan arah arus dapat dilihat kawasan operasi adalah dibahagikan hampir sama banyak di antara Thailand dan Malaysia. Ketika ini, pihak berkuasa kita bekerjasama rapat dengan Thailand bagi bertukar maklumat mengenai operasi ini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN