IPOH: Capaian liputan 5G di kawasan berpenduduk di negeri ini kini mencapai tahap 80.9 peratus sehingga September lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd. Azlan Helmi Helmi berkata, pembangunan rangkaian itu dilaksanakan secara berperingkat melalui peluasan tapak pemancar di kawasan-kawasan strategik dan berimpak tinggi.
“Pembangunan rangkaian 5G juga diperkukuh melalui perancangan rangkaian 5G kedua oleh U Mobile Sdn. Bhd., yang kini sedang dalam pelaksanaan secara berfasa.
“Langkah ini dijangka meningkatkan kapasiti rangkaian, memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna serta memperkukuh daya saing ekosistem digital negeri Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Berhanudin Ahmad (Manong-PN) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15, di sini hari ini.
Menurut beliau, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa memastikan pembangunan infrastruktur digital negeri Perak dilaksanakan secara terancang dan progresif
Malah katanya, keutamaan kepada peluasan liputan 5G di kawasan luar bandar turut diberi perhatian sebagai sokongan kepada pembangunan ekonomi digital rakyat.
Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa kekangan teknikal dan logistik yang perlu ditangani secara berperingkat.
“Antara cabaran utama yang dihadapi termasuk bentuk muka bumi berbukit, kedudukan geografi yang tidak mempunyai ‘line of sight’ (LOS) yang jelas dan ketiadaan laluan ‘backhaul’ gentian optik di kawasan tertentu.
“Selain itu, faktor seperti kepadatan penduduk yang rendah, ketiadaan infrastruktur asas dan bekalan elektrik yang tidak stabil turut memberi implikasi kepada tempoh pelaksanaan projek,” katanya.
Tambah beliau, dalam menghadapi beberapa kekangan, peluasan rangkaian 5G akan terus dilaksanakan dengan mengambil kira kesediaan tapak, keperluan setempat serta keutamaan kawasan berimpak tinggi.
“Ia seperti zon perindustrian, institusi pendidikan, kawasan tumpuan awam dan pusat pertumbuhan ekonomi luar bandar.
“Pendekatan ini memastikan perbelanjaan awam dioptimumkan dan manfaat teknologi baharu dapat dinikmati secara inklusif,” katanya. – UTUSAN










