Dua maut dalam kemalangan libatkan MPV, lori bawa muatan buah

Dua maut dalam kemalangan libatkan MPV, lori bawa muatan buah

DUA maut dalam satu kemalangan melibatkan MPV jenis Toyota Estima dan lori yang membawa muatan buah-buahan di Kilometer 141.5 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran R&R Juru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang malam tadi.-GAMBAR/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Dua maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan buah-buahan dalam satu kemalangan di Kilometer 141.5 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru di sini, malam tadi.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Muhammad Fakhrur Razi Usri, 31, iaitu pemandu MPV jenis Toyota Estima itu dan rakannya, Mohamad Nizar Abdul Rahman, 32, yang turut menaiki kenderaan yang sama.

Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas tersepit pada bahagian hadapan kenderaan terbabit manakala pemandu lori berkenaan yang berusia 37 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu kira-kira pukul 11.22 malam sebelum sepasukan anggota bomba segera dikerah ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat.

“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan dengan menggunakan peralatan khas dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 12.40 tengah malam tadi,” katanya yang memberitahu, kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, ketika kejadian, kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Juru selepas keluar untuk menikmati makan malam.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN