SERDANG: “Tanpa keikhlasan, kita mudah letih dan tertekan. Ilmu hanya benar-benar bermakna apabila kita gembira ketika menyampaikannya,” kata tokoh motivasi
terkenal negara, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, sewaktu menerima Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Pengembangan pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-49, Sidang 2, hari ini.
Penganugerahan tersebut disempurnakan oleh Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, yang berkenan menyampaikan ijazah kehormat berprestij itu.
Dr. Mohd Fadzilah berkata, tugas menyampaikan ilmu, sama ada dalam konteks agama, teknologi, pembangunan atau profesional menuntut jiwa yang bersih dan niat yang betul.
“Kita sebagai khalifah, pekerja, pemimpin dan warga universiti adalah agen penyampai maklumat dan sebelum mengembangkan masyarakat setiap warga UPM perlu
membangunkan diri sendiri terlebih dahulu. Pimpin diri, barulah kita boleh membangunkan orang lain,” katanya.
Tambah beliau, pengembangan ilmu yang berkesan hanya dapat dicapai melalui kesatuan dan kolaborasi.
“Jika kita bersatu, lebih banyak ilmu dapat dikongsi dan disampaikan secara inklusif kepada masyarakat,” katanya.
Ini merupakan pengiktirafan rasmi UPM terhadap hampir lima dekad sumbangan besar beliau dalam bidang motivasi, pendidikan dan pembangunan modal insan disiplin yang menjadi inti pati Pendidikan Pengembangan di universiti.
Selain itu, sumbangan beliau telah memperkukuh kefahaman masyarakat tentang pengurusan diri, kepimpinan, pembentukan karakter dan pembangunan komuniti,
menjadikannya antara tokoh paling berpengaruh dalam landskap pendidikan negara.
Dr. Mohd Fadzilah memulakan kerjaya akademiknya di UPM pada 1977 sebagai pensyarah di Jabatan Pembangunan Komunikasi, sebelum menyandang jawatan Timbalan Pengarah di Pusat Pengembangan dan Pendidikan Lanjutan (PPPL).
Sepanjang 16 tahun perkhidmatannya, beliau membangunkan pelbagai modul latihan dan program kecemerlangan diri yang menjadi rujukan institusi pendidikan dan agensi kerajaan.
Pengaruh beliau turut melangkaui sempadan negara melalui jemputan di Singapura, Brunei, Asia Barat dan Eropah sebagai penceramah utama serta keynote speaker.
Bimbingannya berteraskan nilai Islam, kekeluargaan dan budaya telah mengangkat Malaysia sebagai pusat rujukan ilmu motivasi serantau. – UTUSAN










